comscore
Tumpuan :
Nasional

Roti canai dipilih sebagai makanan kedua terbaik dunia

KUALA LUMPUR: Sarapan kegemaran rakyat Malaysia iaitu roti canai sekali lagi mendapat pengiktirafan apabila disenaraikan di tangga kedua makanan terbaik dunia.

Ini berdasarkan panduan pengalaman perjalanan untuk makanan tradisional, TasteAtlas, melalui laporan ‘100 Best Dishes in The World Awards 23/24’ yang dikeluarkan, meletakkan hidangan itu di tempat kedua.

Mereka juga menamakan restoran Nasi Kandar Pelita, Tg’s Nasi Kandar dan Sri Nirwana Maju sebagai tempat yang menyediakan roti canai ‘paling ikonik’.

Mendahului roti canai di tempat teratas adalah ‘picanha’, sejenis potongan daging lembu Brazil.Roti canai biasa dimakan untuk sarapan pagi dan diperbuat daripada tepung, air dan telur.

Doh roti itu dilipat beberapa kali untuk membentuk lapisan, menghasilkan tekstur yang lembut dan gebu pada bahagian dalam, dengan lapisan luar yang garing.

Terkenal dengan kepelbagaian padanan, roti canai boleh dimakan dengan beberapa makanan lain yang berkuah termasuk kari, kuah dhal dan sambal, selain chutney atau susu pekat.

Ada juga lebih suka roti canai mereka digabungkan dengan bahan lain seperti pisang, telur dan bawang.

Selain picanha dan roti canai, TasteAtlas menyenaraikan hidangan tumis dipanggil ‘phat kaphrao’ dari Thailand pada kedudukan ketiga, diikuti pizza napoletana dari Itali dan ladu ‘guotie’ dari China masing-masing di tempat keempat dan kelima.

Roti canai juga mendahului naan bawang putih mentega yang terkenal di India dan hidangan lain seperti sandwic Vietnam, ‘banh mi thit’ dan ‘tonkotsu ramen’ dari Jepun.

Pada September, TasteAtlas juga meletakkan roti canai sebagai roti terbaik dunia.

Ia mengalahkan 49 jenis roti lain untuk dinobatkan sebagai ‘Roti Terbaik di Dunia’.

Loading...
Terkini