KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan permohonan untuk membatalkan 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri, (LHDN).
Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu mendakwa pertuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah tanpa asas, defektif selain tidak mendedahkan sebarang kesalahan dalam undang-undang.
Rosmah memfailkan notis usul berkenaan menerusi Tetuan Reza Rahim & Rajivan di Mahkamah Tinggi di sini, semalam dan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden.
Rosmah memohon supaya beliau dilepas dan dibebaskan daripada kesemua 17 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 4 Oktober 2020.
12 daripadanya adalah pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN.
“Kesemua pertuduhan itu secara asasnya adalah berlandaskan bahawa saya kononnya gagal untuk memfailkan pulangan yang diperlukan di bawah seksyen 77 (1) Akta Cukai Pendapatan, 1967 (Akta 53) yang bertentangan dengan seksyen 112 Akta Cukai Pendapatan 1967.
“Pada masa material, Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak pernah menyerahkan kepada saya sebarang taksiran, permintaan dan tuntutan seperti yang diperuntukkan dibawah Akta Cukai Pendapatan 1967 itu yang menjadikan jumlah berkenaan boleh dikenakan bayaran,” dakwanya.
Dakwa Rosmah, hanya Suruhanjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) yang mempunyai hak untuk menentukan sekiranya jumlah itu adalah tertakluk kepada pembayaran cukai dan bukannya mahkamah.
“Jika mahkamah jenayah meneruskan dengan penentuan itu (iaitu samada jumlah itu perlu pembayaran cukai) maka ia akan mengambil alih fungsi SCIT yang juga satu badan yang diberi kuasa melalui undang-undang bertulis.
“Saya mempunyai hak substantif dan hak perlembagaan untuk dilayan secara saksama dan mempunyai hak perundangan substantif dibawah Bahagian VI Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan rayuan terhadap apa-apa taksiran yang dilakukan oleh pihak LHDN yang jelas dinafikan kepada saya dalam kes ini,” katanya.
Dalam pengurusan kes di hadapan Hakim K Muniandy hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn dan peguam Rosmah, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mengesahkan afidavit itu difailkan semalam.
Muniandy kemudian memerintahkan pendakwaan memfailkan afidavit balas selewat-lewatnya 22 September ini.
Manakala pemfailan hujahan bertulis pihak pembelaan Rosmah serta pendakwaan masing-masing selewat-lewatnya 2 dan 16 November depan.
“Permohonan untuk membatalkan pertuduhan terbabit akan didengar 13 Disember,” kata Hakim.
Rosmah, 71, didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di Kuala Lumpur, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di Kuala Lumpur dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.
Perbicaraan kes itu bermula pada 24 Ogos lalu..
Setakat ini, dua saksi sudah dipanggil memberi keterangan.