Oleh Rusyaidi Hafiz Shahid
Kuala Lumpur: Perbicaraan kes Datin Seri Rosmah Mansor yang berdepan tuduhan pengubahan wang haram RM7.1 juta dan pengelakan cukai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini, hari ini, ditangguhkan.
Hakim K Muniandy membuat keputusan itu bagi memberi masa kepada pihak pendakwaan mempertimbangkan representasi difailkan Rosmah, 3 Mei lalu, bagi menggugurkan pertuduhan ke atasnya .
“Tarikh ditetapkan untuk bicara sebelum ini iaitu 28 dan 30 Jun, 6, 7, 28 dan 31 Julai, 1, 2, dan 11 Ogos dilapangkan, bicara akan mula 24 Ogos”, katanya.
Terdahulu, peguam bela Rosmah, Datuk Geethan Ram Vincent, berkata beberapa fakta dalam representasi adalah sabitan terhadap anak guamnya berkaitan projek hibrid solar sebelum ini.
”Saya berharap representasi itu dipertimbangkan pendakwaan dan sebelum bicara mula hari ini, saya mohon penangguhan. Saya percaya pendakwaan tidak bantah permohonan itu,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, berkata pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya dua bulan untuk menyediakan laporan kepada pihak atasan susulan representasi difailkan.
Katanya, kajian perlu dibuat berhubung isu perundangan serius diketengahkan dalam representasi yang rumit dan ada fakta baharu.
Isteri Datuk Seri Mohd Najib Razak itu didakwa di Mahkamah Sesyen pada 4 Oktober 2018, sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Beliau berdepan 12 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017.
Pada 1 September 2022, Hakim Mohamed Zaini Mazlan, mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.
Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan, 11 Julai depan.