KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak mempunyai bidang kuasa berhubung isu pakaian mana-mana pertubuhan berdaftar.
Ia susulan tindakan beberapa individu dipercayai daripada Pertubuhan Skuad Khidmat Udara Laut dan Darat (PASKAD) mengenakan seragam mirip istiadat ketenteraan ketika menghadiri satu majlis.
Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad berkata, semakan berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) mendapati isu berkaitan pakaian tidak termasuk dalam bidang kuasa diperuntukkan kepada RoS.
“Semakan juga dibuat ke atas perlembagaan PASKAD dan mendapati tiada peruntukan mengenai pakaian beruniform dinyatakan.
“Bagaimanapun, RoS boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana pertubuhan berdaftar jika diperlukan, berdasarkan Seksyen 13 Akta 832 bagi mencegah penyalahgunaan pertubuhan yang berpotensi menjejaskan keselamatan, ketenteraman dan moral masyarakat,” katanya kepada BH, hari ini.
Sebelum ini, satu video tular antara lain memaparkan beberapa individu memasuki ruang seperti dewan berpakaian seragam badan beruniform.
Mohd Zulfikar berkata, sekiranya PASKAD didapati menjalankan aktiviti tidak mengikut perlembagaan mereka dan RoS menerima aduan mengenainya, tindakan termasuk pembatalan boleh diambil terhadap PASKAD.
“PASKAD ialah pertubuhan kebangsaan berdaftar yang berpusat di Shah Alam, Selangor.
“Ia ditubuhkan untuk memberi sumbangan kebajikan dalam bentuk kewangan, barangan dan peralatan perubatan bagi membantu masyarakat yang terjejas akibat bencana alam, selain menganjurkan program motivasi dan keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata, PASKAD turut melatih ahli dan masyarakat meningkatkan taraf ekonomi, menyokong pesara serta berfungsi sebagai penghubung antara kerajaan, agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.
“Keahlian PASKAD juga terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas tanpa mengira bangsa, jantina atau agama serta mereka yang tidak memenuhi syarat biasa sebagai Ahli Bersekutu.
“Ahli Kehormat dilantik berdasarkan jasa kepada masyarakat, manakala Ahli Seumur Hidup membayar yuran sekaligus.
“Ahli Remaja pula memerlukan kebenaran bertulis daripada penjaga dan tidak boleh mengundi atau memegang jawatan. Semua permohonan perlu melalui jawatankuasa untuk kelulusan,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dilaporkan berkata, pihaknya membuka kertas siastaan selepas mengesan video tular berkenaan di aplikasi media sosial kira-kira jam 2.30 petang.
Katanya, rakaman memaparkan beberapa individu menghadiri satu majlis dengan berpakaian rasmi hampir menyamai pakaian istiadat pasukan beruniform.
“Susulan itu, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 140 Kanun Keseksaan; Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM),” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.