comscore
Tumpuan :
Nasional

RON95: B40 guna RM243 sebulan, T20 RM399 – Kajian

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kumpulan T20 secara purata menggunakan RM399 sebulan bagi petrol RON95 manakala penggunaan oleh kumpulan B40 sebanyak RM243 sebulan.

Dapatan itu diperoleh daripada Laporan Kajian Impak Program Subsidi Petrol dan Program Subsidi Diesel Sektor Pengangkutan Terpilih.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, dapatan berkenaan membuktikan kaedah subsidi pukal tidak mencapai objektif asas kerana kumpulan sasar yang sepatutnya dibantu tidak mendapat manfaat optimum.

“Kita tahu, disebabkan diesel disubsidi secara pukal, wujud ruang ketirisan yang telah menyebabkan mereka yang tidak bertanggungjawab menyeleweng dan menyeludup diesel di pasaran gelap.

“Oleh yang demikian, tidaklah wajar untuk kerajaan meneruskan suatu pendekatan yang sememangnya tidak adil kepada kumpulan sasar iaitu kumpulan rakyat yang benar-benar perlu dibantu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Simposium Kos Sara Hidup (SCOL) 2023, hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

​​​​​​​Tambahnya, subsidi diesel yang sepatutnya memberi manfaat kepada nelayan atau pengguna untuk mendapat ‘value for money’ kepada perkhidmatan dan barangan dibeli, turut disalahguna pihak tertentu.

“Kita perlu akui bahawa pemberian subsidi daripada kerajaan ini telah membantu dalam menstabilkan harga, menjamin bekalan dan secara tidak langsung membantu rakyat dalam mengurangkan beban kos sara hidup.

“Namun, limpahan manfaat daripada pemberian subsidi secara pukal sejak sekian lama ini turut dinikmati oleh golongan yang
berpendapatan tinggi dan bukan warganegara,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga menanggung perbelanjaan semakin besar dalam peruntukan subsidi iaitu sebanyak RM91.9 bilion pada 2022.

Bagi 2023, peruntukan asal bagi keperluan subsidi adalah sebanyak RM64 bilion, namun kerajaan mengunjurkan nilai berkenaan mencecah RM80.9 bilion berdasarkan perbelanjaan semasa.

“Senario berterusan sebegini tidaklah optimum dari sudut fiskal dan adalah wajar bagi kerajaan yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan bagi menambah baik kaedah penyampaian bantuan yang lebih bersasar kepada rakyat.

“Pelaksanaan subsidi bersasar ini bukanlah mudah dan sudah tentu ada cabarannya. Kerajaan perlu berhati-hati dalam melaksanakan penyasaran semula subsidi kerana ia akan memberi pelbagai kesan dan impak kepada pelbagai kumpulan masyarakat dan sektor ekonomi,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN 

Loading...
Terkini