MUAR: Dua lelaki bekas banduan termasuk seorang baru tiga hari dibebaskan atas kesalahan merompak, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini kerana melakukan perbuatan sama, minggu lalu.
Muhamad Azuan Maula Hashim, 37, dan Muhammad Nizamudin Norizan, 34, masing-masing pernah dipenjara tiga dan dua tahun, mengaku bersalah selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama merompak secara berkumpulan seorang lelaki yang juga pemilik kedai runcit berusia 44 tahun, menggunakan pisau gergaji di Parit Pulai, Tangkak, 2.42 petang, 26 Disember lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan pemilik kedai runcit yang juga orang kelainan upaya (OKU) memaklumkan dia dirompak dua lelaki bersenjatakan pisau gergaji.
Dua tertuduh telah ditahan di lokasi berlainan termasuk di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur.
Perbuatan dilakukan kedua-dua suspek dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis terbabit.
Semakan polis mendapati kedua-dua tertuduh memiliki beberapa rekod lampau dan pernah dipenjara kerana merompak termasuk di stesen minyak.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Arif Marzuki manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap setiap tertuduh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.