Tumpuan :
Nasional

Rombakan Kabinet sesuai dengan perubahan, tuntutan semasa

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan dilaksanakan bagi penyesuaian seiring perkembangan semasa.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keadaan juga berubah bukan sahaja berdasarkan prestasi lalu, tetapi perubahan dari segi perkembangan ekonomi, permasalahan rakyat termasuk kos sara hidup yang harus ditangani dengan baik.

“Juga penerimaan di peringkat antarabangsa yang meletakkan tugas di Kementerian Luar berubah, juga isu pendidikan, pendidikan tinggi terutama dalam beberapa usaha kita meneroka bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), transformasi digital yang menyebabkan saya memikir semula untuk membuat sedikit sebanyak penyesuaian melihat kepada keadaan dan tuntutan semasa,” katanya pada sidang media pengumuman rombakan Kabinet di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Tambahnya, beliau membuat keputusan rombakan itu setelah berbincang dengan ketua parti komponen utama sebelum mempersembah senarai nama kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan diperkenan baginda.

Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri Persekutuan akan berlangsung pada jam 2.30 petang ini di Istana Negara.

Turut berlangsung adalah Istiadat Pengurniaan Surat Cara Perlantikan.

“Hanya bagi menteri (dan timbalan menteri) baharu yang terlibat (angkat sumpah). Dari segi penyesuaian dan pertukaran jabatan tidak dikehendaki mengangkat sumpah, hanya menteri dan timbalan menteri (baharu angkat sumpah),” katanya.

Ditanya sama ada akan berlaku rombakan Kabinet lagi selepas ini, Anwar memberi jaminan barisan Jemaah Menteri baharu yang diumumkan hari ini akan kekal jika menunjukkan prestasi yang memuaskan.

“Saya harap insya-Allah keadaan prestasi baik memuaskan dan tidak ada tekanan atau masalah baharu seperti isu transformasi digital. Saya fikir tidak harus ada apa-apa perubahan empat tahun akan datang sehingga Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya.

Mengulas lanjut, menurut Perdana Menteri, pemotongan gaji sebanyak 20 peratus akan diteruskan untuk barisan Kabinet baharu.

“Pemotongan gaji diteruskan melainkan Perdana Menteri tiada potongan sebab tiada gaji,” katanya.

5 Disember tahun lalu, kesemua menteri kabinet bersetuju untuk melakukan potongan gaji sebanyak 20 peratus sebagai tanda keprihatinan terhadap rakyat dan akan disemak semula selepas ekonomi kembali pulih.

Rombakan Kabinet hari ini menyaksikan masing-masing lima menteri dan timbalan menteri baharu dilantik.

Selain itu, seorang menteri dan dua timbalan menteri digugurkan dari Kabinet.

Secara keseluruhan, Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar terdiri daripada 60 orang iaitu 31 menteri dan 29 timbalan menteri.

Jumlah itu meningkat berbanding 55 orang sebelum ini iaitu 28 menteri dan 27 timbalan menteri, bagaimanapun masih rendah dibandingkan dengan 70 orang barisan Kabinet ketika pentadbiran terdahulu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini