Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Hari ini disifatkan sebagai ‘hari besar’ negara dan menoktahkan segala spekulasi yang berlegar-legar sejak Julai lalu.
Seluruh rakyat menantikan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rombakan Kabinet pimpinannya, setahun selepas Kerajaan Perpaduan menerajui negara.
Difahamkan, Perdana Menteri akan membuat pengumuman itu pada satu sidang media, pagi ini.
Bagaimanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan terlebih dahulu akan menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Kewangan di sini, sebelum dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara.
Ura-ura mengenai rombakan Kabinet hangat diperkatakan sejak Julai lalu terutama selepas pemergian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Ketika ini, portfolio kementerian terbabit dipangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.
Selain itu, spekulasi rombakan kabinet bertiup kencang dengan Perdana Menteri dijangka melakukannya selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Pahang pada 7 Oktober lalu, bagaimanapun ia meleset.
Semalam, sumber memberitahu Buletin TV3 bahawa senarai anggota Jemaah Menteri terbabit dalam rombakan hanya akan diumumkan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Upacara mengangkat sumpah jawatan dan simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong dijadual berlangsung di Majlis Penyerahan Surat Cara Pelantikan dan Majlis Angkat Sumpah Menteri-Menteri Persekutuan di Istana Negara pada jam 2.30 petang hari ini.
Memetik laporan NST, rombakan Kabinet dijangka menampilkan lima muka baharu dan enam perubahan portfolio.
Difahamkan, perubahan utama antara lain membabitkan satu daripada portfolio Timbalan Perdana Menteri, jawatan Menteri Kewangan II, pengwujudan semula Kementerian Wilayah Persekutuan dan pemisahan sekurang-kurangnya dua kementerian.
Sumber yang dipetik NST sebagai berkata, jawatan Menteri Kewangan II berkemungkinan besar disandang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang merupakan anak sulung kepada bekas Pengerusi dan Presiden PETRONAS, Allahyarham Tun Azizan Zainul Abidin.
Satu lagi nama yang dikhabarkan kembali ke Putrajaya ialah Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkemungkinan besar kembali memegang portfolio Menteri Kesihatan menggantikan Dr Zaliha Mustafa.
Dr Zaliha difahamkan akan berpindah ke Kementerian Wilayah Persekutuan yang sebelum ini dibubarkan bagi mewujudkan Jabatan Wilayah Persekutuan.
Selain itu, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yang ketika ini diterajui Fahmi Fadzil dijangka dipisahkan.
Fahmi dijangka menerajui kementerian bertumpu kepada aspek digital manakala bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dikatakan akan bertanggungjawab terhadap portfolio komunikasi.
Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim pula disebut-sebut akan dinaikkan pangkat sebagai Menteri Sumber Manusia menggantikan V Sivakumar.
Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut dijangka menyertai Kabinet, manakala Armizan dikatakan akan berpindah mengetuai KPDN.
Sementara itu, menurut sumber, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang kini diterajui Nik Nazmi Nik Ahmad akan dipecah dua.
Datuk Seri Fadillah Yusof yang ketika ini seorang daripada dua daripada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi dijangka menerajui satu daripada kementerian berkenaan.
Rombakan ini turut membabitkan Datuk Seri Mohamad Hassan yang kini Menteri Pertahanan, dijangka berpindah kementerian sebagai Menteri Luar yang ketika ini disandang Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Difahamkan, Zambry akan menerajui Kementerian Pengajian Tinggi menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang diramal berpindah ke Kementerian Pertahanan.