comscore
Tumpuan :
Nasional

Rombakan Kabinet: GPS tetap pertahan kestabilan Kerajaan Perpaduan

 

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan tetap fokus kepada usaha untuk mempertahankan kestabilan politik dan perpaduan dalam Kerajaan Perpaduan walaupun terdapat perubahan dalam kabinet.

 

Ia bagi memastikan setiap usaha untuk memulih dan memperkasakan ekonomi negara dapat dilakukan dengan baik dan berkesan untuk manfaat rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Malaysia memerlukan suasana politik yang stabil bagi memastikan usaha untuk memperkasakan ekonomi negara dapat dilakukan dengan berkesan.

Kestabilan politik itu katanya adalah asas utama yang dipertimbangkan pelabur sebelum membuat sebarang bentuk pelaburan berkaitan di negara ini selain dasar dan strategi yang diumumkan oleh kerajaan yang juga perlu mesra pelabur serta komuniti perniagaan.

“Kestabilan ini penting untuk dikekalkan kerana dalam situasi kegawatan ekonomi global ketika ini, negara amat memerlukan pelabur dan pelaburan masuk ke negara ini.

“Jadi tidak dapat tidak kita kena letakkan kepentingan dan keutamaan negara terlebih dahulu selain pastikan politik yang stabil, kerajaan yang kuat, kemudian dasar-dasar kita adalah mesra kepada pelabur dan juga mesra kepada komuniti perniagaan.

“Kalau ekonomi kita berkembang, pendapatan kita bertambah, barulah kita dapat membantu rakyat dan rakyat ketika ini memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis penutupan Program Promosi Kemahiran Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di sini.

Datuk Seri Fadillah yang juga Ketua Whip GPS memberitahu, ketika ini tidak ada sebarang perbincangan mengenai rombakan yang akan dilakukan terhadap anggota kabinet Kerajaan Perpaduan sedia ada.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pastinya akan menilai semua sudut khususnya kebolehan, kesesuaian dan prestasi menteri-menteri dalam kabinetnya sebelum membuat sebarang keputusan selepas satu tahun kerajaan itu ditubuhkan.

Loading...
Terkini