Oleh: Juliana Sharin
KARAK: Datuk Seri Anwar Ibrahim harus diberi kepercayaan penuh untuk menentukan sebarang keperluan membuat rombakan kabinet, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai hak dan kuasa sepenuhnya dalam perkara itu.
“Jadi kita kena biarkan Perdana Menteri buat keputusan, sama ada dia hendak buat rombakan atau tidak, itu hak mutlak Perdana Menteri. Jadi tidak boleh mana-mana pihak buat tekanan dan sebagainya sebab kita kena ambil kira bahawa Kerajaan Perpaduan ini baru 10 bulan” kata Datuk Seri Johari, selepas melawat Kampung Orang Asli Sungei Gapoi, Karak, Pahang sempena Pilihan Raya Kecil Dun Pelangai.
Beliau ditanya wartawan mengenai ura-ura Datuk Seri Anwar akan melakukan rombakan kabinet tidak lama lagi.
Datuk Seri Johari mahu semua pihak yang bersama Kerajaan Perpaduan memberi sokongan bulat kepada Perdana Menteri mengambil apa jua tindakan berhubung jemaah menteri pimpinannya.
“Kita semua sudah pilih dia jadi Perdana Menteri, jadi kita kena sokong dia. Saya secara peribadi menyokong Kerajaan Perpaduan, saya juga diberi tanggungjawab menjadi pengerusi backbencher untuk mempertahankan Kerajaan Perpaduan.
“Di samping itu saya juga memainkan peranan Pengerusi Pasukan Petugas 1MDB. Ini peranan yang saya mainkan di luar (yang) secara tidak langsung (juga) menyokong Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Datuk Seri Johari enggan mengulas spekulasi berhubung beberapa nama yang dikaitkan dengan rombakan itu dalam laporan media.
“Dalam politik ini mana ada pinang-pinang. Politik ini apabila menjadi PM, dia akan susun dia punya barisan dan pasukan.
“Macam main bola lah. Dia tak boleh main seorang-seorang. Dia kena ada pasukan. Kerajaan begitu juga, dia kena ada pasukan. Pasukan ini masing-masing ada kepakarannya. Tapi kena ambil masa (untuk mereka) menyesuaikan daripada segi perjalanan kerajaan.
Datuk Seri Anwar perlu mengisi kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) susulan kematian Datuk Seri Salahuddin Ayub pada Julai lalu.
Bagaimanapun, beberapa media melaporkan rombakan Kabinet lebih besar mungkin dilakukan.
Awal minggu ini, Datuk Seri Anwar berkata beliau akan “fikirkan dahulu” mengenai rombakan kabinet.