KUALA LUMPUR: Tokoh korporat, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyertai Kabinet Kerajaan Perpaduan apabila dilantik sebagai Menteri Kewangan II.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.
Amir Hamzah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengangkat sumpah sebagai Senator pagi tadi di Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Amir Hamzah, 56, yang menyertai KWSP pada 2021, adalah anak sulung kepada bekas Pengerusi dan Presiden Petronas, Tun Azizan Zainul Abidin.
Sebelum dilantik sebagai Ketua Eksekutif KWSP, beliau mengetuai Tenaga Nasional Berhad sejak 2019.
Pengalamannya dalam dunia korporat mencakupi lebih 27 tahun, termasuk menerajui syarikat seperti Kumpulan Syarikat Shell, MISC Berhad, Petronas Dagangan Berhad, Petronas Lubricants International, Icon Offshore Bhd, dan Themed Attractions Resorts and Hotels Sdn Bhd.
Amir Hamzah memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Pengurusan dengan pengkhususan dalam Kewangan dan Ekonomi dari Universiti Syracuse, New York.