PUTRAJAYA : Keputusan membawa Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyertai kabinet Kerajaan Perpaduan mampu meningkatkan prestasi dan profesionalisme Kementerian Kewangan.
Menurut Perdana Menteri, dengan pengalaman lebih 27 tahun dalam dunia korporat, pelantikan Amir Hamzah turut dapat memastikan kerajaan berada di landasan tepat dalam usaha membangunkan ekonomi negara.
”Ketika menerajui dan menguruskan hal ehwal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), beliau (Datuk Seri Amir Hamzah) menunjukkan kecekapan serta keupayaan yang cukup mengagumkan dan memuaskan,” katanya.
Beliau ketika mengumumkan rombakan Kabinet hari ini mengumumkan pelantikan Amir Hamzah sebagai Menteri Kewangan II.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP itu mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara di hadapan Yang dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Mengulas lantikan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerajui semula Kementerian Kesihatan, Anwar berkata pengalaman Ahli Parlimen Kuala Selangor itu diperlukan bagi menyelesaikan bebanan isu yang diwarisi kementerian itu.
Beliau juga bertanggungjawab untuk memenuhi tuntutan rakyat bagi kesihatan lebih baik.
Dr Dzulkefly pernah menjadi Menteri Kesihatan era kerajaan Pakatan Harapan namun tidak dilantik ke jemaah menteri ketika Anwar menerajui kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15.