comscore
Tumpuan :
Nasional

Rombak kohort pendidikan elak keciciran – Zahid

Oleh: Syafiqah Damanhuri

SHAH ALAM: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu kohort pendidikan dirombak bagi mengelak isu keciciran murid dan pelajar terus berlaku.

Tegasnya, terdapat sebilangan pelajar yang tidak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun berdaftar kerana tidak menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

“Daripada 400,000 kohort untuk ambil SPM, yang tidak mengambil peperiksaan SPM walaupun berdaftar adalah 10,177. Mengapa itu berlaku? Kebanyakannya tidak boleh mengikuti 3M.

“Justeru, wajib dasar pendidikan yang tidak ada peperiksaan darjah 6, tingkatan 3 dan hanya ada peperiksaan tingkatan 5 saja mesti dirombak.

“Jangan jadikan pelajar-pelajar, anak murid sebagai bahan uji kaji, mereka jadi mangsa. Biar kerajaan bertukar pemimpin bertukar tapi dasar pendidikan mesti dibuat agar anak-anak kita tidak menjadi mangsa,” katanya dalam ucapan perasmian di Himpunan Agung MIC di sini.

Tambahnya selain pendidikan akademik biasa, kerajaan turut memberi keutamaan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Itu sebabnya melalui dasar TVET negara Kabinet memutuskan Sijil Kemahiran Malaysia SKM 1,2 dan 3 sama taraf dengan SPM.

“Manakala, SKM 3, 4 dan 5 sama taraf diploma. Ertinya walaupun tanpa SPM lepasan TVET yang mendapat skm 3,4 dan 5 layak masuk ke universiti tanpa SPM. Terdapat 5 universiti yang menerima pelajar-pelajar ini,” jelasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini