comscore
Tumpuan :
Nasional

Rombak atau ambil alih AKSB, jalan terakhir selesai isu air Kelantan – Nik Nazmi

KOTA BHARU: Kerajaan Perpaduan tidak menolak kemungkinan melakukan rombakan atau mengambil alih Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sebagai jalan terakhir, sekiranya usaha untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan tidak berhasil dan gagal mendapat kerjasama.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan itu  boleh dilakukan menerusi Akta Industri Perkhidmatan Air (Wasia).

Bagaimanapun katanya, keadaan kini belum sampai ke tahap berkenaan.

“Susulan pertemuan antara Kerajaan Sabah, Kelantan dengan Kerajaan Perpaduan, kami melihat beberapa projek yang perlu diberi keutamaan dan akan ada projek jangka masa pendek dan sederhana yang akan dilakukan bagi keperluan mendesak.

“Namun pilihan untuk merombak AKSB kita tidak menolak kerana Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang sebelum ini menjadi Menteri pun memaklumkan kegagalan pengurusan AKSB dari segi tadbir urus dan kewangan.

“Jadi di bawah Wasia, kita ada pilihan berkenaan dan kita tidak menolak sekiranya pendekatan lain yang diambil untuk menyelesaikan masalah air kini tidak berhasil dan tidak mendapat kerjasama dari AKSB serta kerajaan negeri,” katanya selepas mengadakan ceramah kelompok di Pasir Pekan, di sini, malam tadi.

“Jika keadaan semakin kritikal kita akan lihat sama ada perlu rombakan atau ambil alih. Setakat ini kita belum lagi sampai ke tahap itu,” jelasnya.

Loading...
Terkini