KUALA LUMPUR: Penyanyi popular era 1980-an, Rohana Jalil terpaksa menjalani pembedahan untuk merawat kebocoran pada usus perut, kata anaknya Kilafairy.
Kilafairy atau nama sebenarnya, Syakila Nisa Jahangir Khan berkata, ibunya perlu melalui beberapa prosedur untuk mengubati masalah yang dihadapinya dan keadaannya stabil.
“Semalam Mama sudah buat pembedahan untuk tutup lubang bocor pada usus perut. Ada kebocoran disebabkan asid gastrik.
“Jadi, sekarang Mama tengah buat prosedur kedua masuk ‘stand’ untuk tutup lubang bocor pada usus yang bocor.
“Tolong doakan prosedur ini berjaya supaya tidak perlu membuat pembedahan lebih besar.
“Keadaan Mama stabil, tetapi masih kritikal di bawah pemantauan hospital,” katanya kepada BH Online.
Semalam, Rohana dilaporkan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tanpa diketahui penyakit.
Mengesahkan berita duka itu kepada BH Online, rakan baiknya, Datin Salwa Abdul Rahman, pagi ini.
Salwa berkata, dia terkejut diberitahu juara Bintang RTM 1980 itu berada dalam kritikal di ICU sejak semalam.
Namun, katanya, doktor masih melakukan pemeriksaan dan pemantauan mengenai penyakit dihidapinya memandangkan penyanyi lagu Rayuanku itu tidak pernah alami penyakit serius sebelum ini.
“Jaafar Onn ada menunjukkan gambarnya bersama Rohana ketika mengadakan persembahan di Plaza Shah Alam pada Ahad lalu.
“Bagaimanapun, Jaafar beritahu ketika sedang menyanyi, Rohana tidak boleh berdiri secara tiba-tiba.
“Rohana nak duduk dan terus berada dalam keadaan lemah. Saya memang terkejut kerana mengenalinya, Rohana seorang yang aktif dan jarang sakit.
“Semalam, saya mendapat khabar keadaan Rohana kritikal dalam ICU dengan penyakit yang belum diketahui,” katanya.