KUALA LUMPUR: Disyaki merogol dan mencabul anak tirinya yang berusia 15 tahun di sebuah rumah kedai di Pandan Indah dan sebuah rumah pangsa di Taman Saga, Ampang dekat sini, baru-baru ini, seorang lelaki ditangkap polis.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata suspek berusia 30 tahun yang bekerja sebagai penghantar barang ditahan di kediamannya di Taman Saga, kira-kira jam 10.30 malam, semalam.
Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai mula dicabul dan dirogol pada Januari 2020, ketika mangsa berusia 13 tahun.
“Kejadian pertama kali berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari di sebuah bilik sewa di rumah kedai dekat Pandan Indah dan ketika kejadian, mangsa berada bersama seorang adik lelakinya yang masih kecil di dalam bilik.
“Pada 28 Ogos lalu, suspek sekali lagi mencabul mangsa dengan memeluk badan mangsa dari arah belakang sebelum meraba dan meramas buah dadanya.
“Kejadian berlaku di sebuah rumah pangsa di Taman Saga ketika mangsa berada di dapur dan suspek sekali lagi mencabul mangsa dengan cara sama pada 30 Ogos lalu, kira-kira jam 8 malam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd Azam, hasil aduan yang diterima pada Selasa lalu, polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang juga bapa tiri mangsa di kediamannya di Taman Saga untuk membantu siasatan.
Mohd Azam berkata semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkait kes jenayah dan ujian saringan air kencing didapati negatif.
“Ketika disoal siasat, suspek menafikan ada merogol dan mencabul mangsa sebaliknya mendakwa mangsa mereka-reka cerita kerana suspek tegas mendidik.
“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan pegawai perubatan Hospital Ampang menemui kesan koyakkan lama pada kemaluan mangsa,” katanya.
Berikutan itu, katanya suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 14 September ini untuk siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan rogol.