comscore
Tumpuan :
Nasional

Roger Ng tiba malam ini bantu siasatan 1MDB – Saifuddin

Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng dan peguamnya, Marc Agnifilo di New York. – FOTO: Reuters

SUNGAI SIPUT: Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa dijangka tiba di Malaysia tengah malam ini, bagi membantu siasatan pihak berkuasa berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengesahkan perkara itu, berkata fokus kerajaan untuk mendapatkan kembali aset yang dikaitkan dalam kes itu.

“Jadi, itu (Ng) kita serahkan kepada pihak berkuasa, agensi penguat kuasa untuk menjalankan siasatan. Ia dalam pengetahuan saya kerana kebanyakan agensi atau institusi terbabit selain daripada Peguam Negara ialah agensi di bawah KDN (Kementerian Dalam Negeri).

“Kalau tiada halangan apa-apa, dia akan sampai negara kita hari ini, tengah malam nanti. Kalau tiada halangan apa-apa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) bersama masyarakat Orang Asli di Pos Kuala Mu, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata demikian ketika ditanya mengenai Ng dan tarikh dia akan tiba ke Malaysia.

Semalam, media melaporkan Ng yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di New York, Amerika Syarikat kerana membantu menggelapkan berbilion dolar dana 1MDB, akan diserahkan kepada Malaysia untuk berdepan pertuduhan di negara ini.

Saifuddin Nasution berkata, sebelum ini, Ng hanya berada di Amerika Syarikat untuk sementara bagi berdepan perbicaraan di negara itu.

“Dia telah disabitkan (hukuman) 10 tahun penjara, tetapi belum lagi menjalani pemenjaraan. Kita belum selesai lagi (siasatan).

Untuk itu, kita maklumkan Amerika Syarikat, dalam kes ini Jabatan Keadilan (DOJ), kita maklumkan melalui Pejabat Peguam Negara, mengikut perjanjian apabila selesai perbicaraan di sana, kita boleh dapatkan dia balik.

“Jadi, kita pun ikut perjanjian itu, maka pihak DOJ bersetuju untuk dia dihantar balik bagi tujuan pihak berkuasa di Malaysia meneruskan siasatan mengenai 1MDB ataupun mengenai Goldman Sachs,” katanya.

Ditanya berkenaan lokasi ketibaan Ng, Saifuddin Nasution hanya menjawab: “(Akan tiba) ke satu destinasi yang selamatlah”. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini