comscore
Tumpuan :
Nasional

Roger Ng dibawa pulang, bantu dapatkan semula aset 1MDB

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengenal pasti sama ada akan meneruskan siasatan sebelum ini atau memulakan siasatan baharu terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun berkata, Ng dibawa pulang ke Malaysia dari Amerika Syarikat (AS) bagi membantu pihak berkuasa mendapatkan semula aset syarikat tersebut yang dikaitkan dengan bank berkenaan.

“Mereka (Polis) akan kenal pasti undang-undang apa sama ada meneruskan (siasatan) yang lama. Apabila dipersetujui oleh Peguam Negara waktu itu (Tommy Thomas) untuk hantar balik (Ng ke AS), kita hentikan siasatan sebab AS telah selesai siasatan dan mereka nak bicara, kita masih dalam proses siasatan.

“Kita bagi dulu (kepada AS), kita ingatkan bahawa selesai sahaja kes di sana, kita bawa balik. Sama ada meneruskan siasatan lama ataupun ada bentuk siasatan baharu, itu bidang tugas polis,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan sesi libat urus Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Badan Pengurusan Keharmonian Agama, di sini hari ini.

Ng ditahan di Malaysia pada November 2018 dan diekstradisi enam bulan kemudian iaitu 3 Mei 2019.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Ng diserahkan secara sementara kepada AS hasil rundingan dan persetujuan kedua-dua negara, selaras dengan terma-terma Triti Ekstradisi antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Amerika Syarikat.

Tambahnya, Ng akan dipulangkan semula ke Malaysia untuk disiasat di negara ini, sebaik sahaja prosiding di AS dimuktamadkan.

“Sepanjang tempoh Ng di sana (AS), tempoh terakhir diberikan Kerajaan Malaysia adalah sehingga Februari tahun depan, itu tempoh lanjutan yang diberikan sebab kita tahu bila mahkamah akan selesai. Rupanya mahkamah di AS selesai lebih awal.

“Jadi kita kemudiannya memaklumkan kepada Jabatan Kehakiman (DOJ) AS supaya seperti mana persetujuan kedua-dua negara, Ng wajar dikembalikan kerana kita masih ada lagi ‘unfinished business’ (perkara tidak selesai) bersama agensi penguat kuasa,” katanya.

Kes Ng berpunca daripada kira-kira AS$6.5 bilion (kira-kira RM29.09 bilion) bon Goldman dalam membantu penjualan 1MDB pada 2012 dan 2013.

Pendakwa raya AS berkata, pegawai, bank dan sekutu mereka menggelapkan kira-kira AS$4.5 bilion (kira-kira RM20.14 bilion) daripada jumlah itu.

Ng ialah warganegara Malaysia dan bekas Ketua Perbankan Pelaburan Goldman di Malaysia.

Ketua Hakim Daerah AS, Margo Brodie di Brooklyn menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Ng pada Mac lalu, iaitu 11 bulan selepas juri mendapati dia bersalah kerana membantu bekas bos Goldman, Tim Leissner menggelapkan wang 1MDB, mencuci hasil dana itu dan menyogok pegawai kerajaan untuk mendapatkan perniagaan.

Semalam, PDRM mengesahkan Ng tiba di Malaysia bagi membantu siasatan kes berkenaan, namun lokasi keberadaan lelaki itu tidak didedahkan atas faktor keselamatan.

Sementara itu, ditanya berapa lama Ng akan berada di Malaysia, ujar Saifuddin, tiada tempoh tertentu ditetapkan kerana tertakluk kepantasan pasukan agensi penguat kuasa menjalankan siasatan.

Jelasnya, PDRM juga belum memutuskan sebarang bentuk pertuduhan ke atas Ng kerana bergantung kepada hasil siasatan.

Mengulas mengenai sesi libat urus berkenaan, Saifuddin berkata, hasil libat urus berhubung isu penggunaan kalimah ALLAH itu akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja pada hujung bulan ini.

“Apa-apa input (dari Mesyuarat Majlis Raja-Raja) sama ada pandangan dan sebagainya akan dibawa semula ke KDN untuk diteliti sebagai panduan untuk merangka suatu arahan pentadbiran yang baharu,” katanya sambil menambah lima sesi libat urus telah diselesaikan membabitkan pelbagai kumpulan sasar termasuk cendekiawan Islam serta aktivis perundangan sivil dan syariah.

Loading...
Terkini