KUALA LUMPUR: Sebanyak RM9.13 juta bayaran saman dikutip Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tiga hari Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) bermula Jumaat lalu sehingga semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata jumlah kutipan itu adalah hasil daripada 103,590 saman yang dijelaskan.
Katanya, pihak JSPT tidak menetapkan sasaran bagi penyelesaian saman, namun berbangga dengan kehadiran 32,500 pemilik saman yang mahu menyelesaikan saman tertunggak masing-masing dalam program itu.
“Jumlah kutipan saman bukan sebagai keutamaan JSPT sebaliknya, berbangga dengan jumlah penyelesaian saman yang tinggi. Ini menunjukkan kesedaran dan peranan orang ramai juga menunjukkan trend penyelesaian melalui platform secara atas talian ‘cashless’ (tanpa tunai).
“Bagi tempoh tiga hari bermula Jumaat hingga semalam, sebanyak 103,590 saman dijelaskan berjumlah RM9,139,750 melalui saluran bayaran saman yang disediakan.
“Antaranya kaunter PDRM secara tunai dan e-Payment, juga melalui voucher yang diselesaikan melalui portal dan aplikasi MyBayar PDRM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Yusri berkata, saman merangkumi kesalahan pandu laju, abai isyarat lalu lintas serta halangan lalu lintas merekodkan jumlah saman tertinggi.
“JSPT mengucapkan penghargaan terima kasih dan kerjasama kepada orang ramai yang hadir dalam menyelesaikan saman tertunggak bersempena 2TM.
“Jabatan ini menyarankan orang ramai tidak seharusnya menunggu tawaran diskaun diumumkan untuk menjelaskan saman-saman yang diterima,” katanya.
Dalam pada itu, katanya JSPT dalam peringkat kajian untuk mengadakan program pengurangan saman di seluruh negara secara tanpa tunai (cashless) melalui portal dan aplikasi MyBayar PDRM disamping meningkatkan lagi jumlah pengguna berdaftar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.