comscore
Tumpuan :
Nasional

RM8,250 kompaun dikeluarkan sepanjang penguatkuasaan Akta 852

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM8,250 nilai kompaun dikeluarkan sepanjang penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bermula 1 Oktober lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, ia selepas sejumlah 352 premis di Kuala Lumpur dan Putrajaya diperiksa dengan sebanyak 33 notis kesalahan di bawah Seksyen 47 akta itu dikeluarkan menerusi operasi harian dan berjadual.

“Sebanyak 18 notis membabitkan kedai makan, kompleks beli-belah (7 notis) dan perhentian awam (8 notis),” katanya kepada media selepas Operasi Mega Bersepadu Penguatkuasaan Akta 852 di Kampung Baru malam tadi.

Dalam operasi itu, sejumlah 150 premis di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah diperiksa melibatkan pelbagai agensi lain.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 26 premis yang menjual produk merokok telah diberi penguatkuasaan berbentuk pendidikan, literasi, pencerahan.

“Sebanyak 202 infografik kesalahan-kesalahan di bawah Akta 852 juga telah diedarkan,” tambahnya.

Beliau turut mengedarkan tanda larangan merokok terkini di 58 premis sekitar Kampung Baru.

Katanya, tanda amaran baharu itu diharap memberi gambaran lebih jelas mengenai akta itu.

Tambahnya, tanda larangan baharu ditambah dengan logo rokok elektronik dan kod QR yang boleh diimbas bagi mengetahui lebih lanjut berkait khidmat nasihat kesihatan.

“Pemilik premis juga tidak dibenarkan letak bekas abu rokok bagi elak pelanggan merokok.

“Jika pelanggan merokok, pemilik premis diminta untuk menasihatkan dengan berhemah agar tidak merokok di kawasan larangan.

“Sekiranya pelanggan masih berdegil, aduan boleh dibuat kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau bilik gerakan. Maklumat pengadu adalah rahsia.

“Selain itu, rondaan lebih kerap akan dilaksanakan ke lokasi yang sering menerima aduan mengenai isu merokok di tempat larangan,” jelasnya.

Operasi Mega Bersepadu di Kuala Lumpur merupakan pelaksanaan kelapan sejak 1 Oktober selepas dilakukan di Melaka, Sabah, Selangor, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

4 Oktober lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan, premis dobi dan bangunan tempat kerja menjadi kawasan terbaharu larangan merokok selepas ia digazetkan di dalam senarai Tempat Dilarang Merokok di bawah Akta 852.

Ia menjadikan sebanyak 28 tempat larangan merokok secara keseluruhan diwartakan di bawah akta itu.

Akta 852 yang telah diwartakan pada 2 Februari lalu berkuat kuasa serentak dengan peraturan-peraturan serta perintah di bawahnya bermula 1 Oktober 2024.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini