comscore
Tumpuan :
Nasional

RM800 juta nilai kerugian banjir tahun lalu – Ketua Perangkawan

KUALA LUMPUR: Jumlah kerugian keseluruhan akibat banjir tahun lalu bernilai RM800 juta bersamaan 0.04 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, daripada jumlah itu, kerugian membabitkan aset awam dan infrastruktur sebanyak RM380.7 juta; kediaman (RM168.3 juta); pertanian (RM120.6 juta); premis perniagaan (RM53.2 juta); kenderaan (RM22.3 juta) dan pembuatan (RM10.3 juta).

Berkaitan kerugian kediaman, beliau berkata, Johor mencatatkan kerugian tertinggi berjumlah RM121.9 juta, diikuti Kelantan RM15.4 juta dan Sabah RM11.0 juta.

“Bagi Johor, daerah mencatatkan kerugian tertinggi adalah Batu Pahat dengan RM89.2 juta, diikuti Segamat (RM18.3 juta) dan Muar, RM7.1 juta. Di Kelantan, Pasir Mas daerah tertinggi bagi kerugian tempat kediaman sebanyak RM11.5 juta, diikuti Tanah Merah (RM1.3 juta) dan Tumpat (RM1 juta).

“Seterusnya, Kota Marudu dan Pitas merekodkan kerugian tertinggi bagi Sabah, masing-masing berjumlah RM4.8 juta, diikuti daerah Kudat dan Telupid, masing-masing merekodkan kerugian RM400,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi kerugian kenderaan pula, katanya, tiga negeri yang mencatatkan kerugian tertinggi adalah Johor dengan RM15.9 juta, diikuti Selangor (RM1.8 juta) dan Sabah, RM1.6 juta.

“Daerah mencatatkan kerugian tertinggi bagi kerosakan kenderaan di Johor adalah Batu Pahat, RM12.3 juta, diikuti Segamat (RM1.2 juta) dan Muar RM1.1 juta. Sementara Petaling di Selangor mencatatkan kerosakan kenderaan tertinggi berjumlah RM1.8 juta, sementara daerah selebihnya mengalami kerugian kurang daripada RM100,000.

“Daerah Kota Marudu merekodkan kerugian tertinggi bagi Sabah RM1.2 juta, diikuti oleh Pitas RM300,000 dan Kudat RM100,000,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerosakan sektor pembuatan pula menunjukkan Johor merekodkan kerugian berjumlah RM10.3 juta, dengan daerah Segamat tertinggi iaitu RM9.5 juta, diikuti Johor Bahru (RM800,000 dan Muar RM100,000.

Katanya, Johor juga mencatatkan jumlah kerugian tertinggi bagi premis perniagaan, berjumlah RM29.8 juta, di mana Segamat merekod kerugian tertinggi berjumlah RM25.6 juta, diikuti Batu Pahat (RM3.2 juta) serta Muar dan Tangkak masing-masing dengan kerugian RM200,000 manakala Kelantan, negeri kedua tertinggi dengan kerugian RM19.8 juta dan Terengganu, RM2.9 juta.

“Bagi Kelantan, Pasir Mas adalah daerah tertinggi dengan jumlah RM15.1 juta, diikuti Tanah Merah RM1.7 juta dan Tumpat RM900,000.

“Sementara di Terengganu, kerugian premis perniagaan di daerah Hulu Terengganu berjumlah RM900,000 , diikuti Kuala Nerus RM500,000. Seterusnya Setiu dan Kuala Terengganu masing-masing berjumlah RM400,000,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini