Tumpuan :
Nasional

RM74.481 juta Bantuan Awal Persekolahan mula disalurkan di Sabah

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM150 kepada semua murid warganegara di Sabah mula diagihkan minggu ini membabitkan peruntukan keseluruhan RM74.481 juta.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malayisa (KPM), Datuk Ruji Ubi berkata, jumlah itu melibatkan 496,541 orang murid di 1,295 buah sekolah seluruh negeri itu.

“Kita juga mula mengagihkan duit tersebut bukan sahaja di 24 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh negeri Sabah tetapi termasuk telah memberikan secara tunai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui media pada Majlis Penyerahan Cek Cura BAP tahun 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin.

Menurut Ruji agihan BAP oleh sekolah kepada murid dilaksanakan melalui tiga kaedah pengkreditan ke dalam akaun bank murid; atau pengkreditan ke dalam akaun ibu bapa; atau serahan tunai.

“Dalam tempoh seminggu ini kita minta PPD di seluruh negeri Sabah juga 143 PPD seluruh Malaysia dapat menyalurkan peruntukan diberikan ini kepada para pelajar pada murid sebelum sesi persekolahan 2024 berakhir,” katanya lagi.

Buat pertama kalinya juga ujarnya pemberian BAP diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam yang akan disalurkan ke sekolah pada bulan Februari 2025 dengan unjuran peruntukan sebanyak RM15 juta.

“Para pelajar tingkatan enam di seluruh negara menerima bantuan RM150 ataupun kita panggil BAP diharap ini dapat membantu ibu bapa dan pelajar membuat persiapan bagi memasuki sesi persekolahan baru pada tahun 2025 yang akan akan bermula 17 Februari 2025,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kepada semua pihak khususnya sekolah agar tidak membuat sebarang potongan daripada RM150 bagi setiap pelajar dan bantuan itu hendaklah dimanfaat sepenuhnya untuk persediaan sesi persekolahan baharu.

Jelasnya sekiranya terdapat kes mengenainya beliau meminta ibu bapa untuk melaporkan segera kepada PPD atau pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam tempoh minggu ini.

“Kita akan memantau dari semasa ke semasa satu, supaya bantuan tersebut dapat diagihkan sebelum sesi sekolah penggal persekolahan ini ditutup; kedua memastikan bahawa tiada sebarang potongan dikenakan terhadap bantuan ini pada mana-mana pelajar sama ada dari darjah satu ataupun sehingga tingkatan enam,” katanya.

Dalam perkembangan lain Ruji juga memaklumkan sejumlah 52 projek sekolah daif di Sabah diluluskan daripada 122 projek sekolah daif seluruh negara tahun ini.

Pihak KPM jelasnya akan cuba berusaha mendapatkan peruntukan untuk tahun akan datang kepada lebih 1,400 buah sekolah daif seluruh negara termasuk lebih 300 buah di Sabah yang masih belum menerima peruntukan tahun ini.

“KPM dapat RM6.3 bilion (projek infrastruktur KPM), RM1 bilion di Sabah jadi bersyukur peruntukkan itu besar lebih penting tanggungjawab untuk melaksanakannya termasuk projek sekolah daif yang diluluskan pada tahun 2025,

“Sabah antara yang tertinggi satu hal pelaksanaannya saya kena pastikan di Sabah ada tiga pelaksana mengikut jumlah peruntukkan ataupun jumlah kelulusan bagi satu-satu projek satu adalah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah yang akan saya jumpa sekejap lagi satu lagi JKR Malaysia cawangan kerja penyelidikan dan satu lagi bahagian pembangunan di KPM,

“Jadi yang ini kita akan koordinasi dan peruntukkan besar nak melaksanakannya membelanjakan duit tersebut satu lagi perkara yang harus kita beri perhatian,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini