KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 mengesan kehilangan atau kerugian wang awam sebanyak RM681.71 juta membabitkan enam program kerajaan.
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, berkata ia hasil 16 pengauditan prestasi bernilai RM208.882 bilion yang dilaksanakan di 14 kementerian melalui LKAN 2022.
Beliau berkata, kerugian itu membabitkan pengurusan program penanaman padi, pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), pengurusan dan kawal selia senjata api jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Ia turut membabitkan pengurusan program pemuliharaan kawasan perlindungan marin dan program galakan pelaburan bagi sektor perkilangan dan pengurusan program bandar selamat.
“Perkara ini antaranya berkaitan pemberian pengecualian denda yang dikenakan ke atas kelewatan pembekalan dan penghantaran baja, penyaluran subsidi dan insentif pesawah tidak optimum.
Daripada 16 pengauditan prestasi bernilai RM208.882 bilion yang dilaksanakan di 14 kementerian, ia membabitkan 13 program antaranya RM189.290 bilion adalah program galakan pelaburan bagi sektor perkilangan; pengurusan program penanaman padi (RM6.820 bilion).
Pengurusan kawalan penyakit denggi membabitkan RM5.230 bilion; pengurusan program skim pembangunan kesejahteraan rakyat (RM2.215 bilion); pengurusan naik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di sekolah (RM1.026 bilion) dan pengurusan pembangunanhartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) (RM822.61 juta).
Wan Suraya berkata, terdapat tiga kes pembaziran bernilai RM21.35 juta antaranya melibatkan Pengurusan Pekerja Asing melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).
“Kes yang dibangkitkan antaranya berkaitan sistem yang tidak digunakan secara optimum di mana 11 daripada 14 modul sistem ePPAx tidak digunakan dalam proses pengurusan pekerja asing.
“Projek pangkalan hadapan yang siap pada tahun 2020 tidak dapat digunakan dan peralatan kelengkapan latihan (ACMV Industrial) tidak digunakan sejak diterima pada tahun 2018,” katanya.
Terdapat juga dua kes pembayaran tidak teratur bernilai RM1.52 juta berhubung pengurusan program podium sukan elit dan pengurusan program memperkasakan kapasiti, kebolehan dan daya saing industri pembinaan.
Ia berkaitan perbelanjaan di luar skop kelulusan dan tajaan program dibuat kepada peserta yang tidak memenuhi syarat.
“Hasil daripada pengauditan, Jabatan Audit Negara mengemukakan 55 syor untuk diambil tindakan oleh kementerian, jabatan dan agensi berkaitan. Antaranya, kementerian, jabatan, agensi dimohon menjalankan kajian terperinci bagi setiap cadangan projek terlebih dahulu sebelum diluluskan,” katanya.