KUALA NERUS: Jenayah siber di negara ini dianggap mencapai tahap serius apabila merekodkan kerugian hampir RM600 juta sepanjang tahun lalu.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, berkata Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang merangka beberapa agenda penting dalam usaha menangani jenayah itu.
Beliau berkata, pihaknya merancang kerjasama dengan penyedia aplikasi TikTok untuk program kesedaran ‘Stop For 3 Second’ yang dijangka dilancarkan pada bulan depan atau Mac.
“Maksudnya ‘three seconds’ (tiga saat) itu akan bantu masyarakat untuk berfikir terlebih dulu sama ada sesuatu maklumat atau perkara yang diterima itu sahih atau tidak,” katanya.
“Data diterima menunjukkan kes jenayah siber ini sangat serius dan salah satu hala tuju aganda KKD tahun ini mahu mendidik dan tingkatkan kesedaran masyarakat agar menjadi pengguna lebih celik digital.
“Hasil mesyuarat dengan beberapa penyedia platform media digital termasuk TikTok, mereka bersetuju bekerjasama membantu agenda KKD ini,” katanya selepas Majlis Bantuan Pasca Banjir di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak, di sini hari ini.
Pada majlis bantuan itu, seramai 1,000 mangsa banjir termasuk 24 warga KKD diberikan bantuan barangan keperluan.
Mengulas lanjut, Nie Ching berharap menerusi TikTok nanti, pengguna akan mendapat kesahihan sama ada maklumat yang mereka terima itu betul atau sebaliknya.
Menurutnya, penyedia platform lain juga akan membantu mempromosi talian hotline 997 disediakan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang beroperasi 12 jam sehari.
“Pusat ini mempunyai wakil Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), bank dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak mendapatkan laporan sebelum aliran wang dilakukan.
“Kita harap inisiatif ini sekurang-kurannya mampu mengurangkan kes jenayah siber di negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Nie Ching berkata pihaknya sedang meneliti status capaian internet di seluruh negara di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) supaya liputan 100 peratus dapat dipercepatkan.
Katanya, Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil akan membentangkan kertas kerja kepada Jemaah Menteri sebaik selesai mencari pendekatan terbaik.
“KKD akan meneliti untuk mempercepatkan kebolehan capain dan berdasarkan rancangan sedia ada, kerajaan masih menjangkakan capaian internet 100 peratus dapat dicapai sebelum 2025,” katanya.