Tumpuan :
Nasional

RM60 juta diperuntuk percepat pembaharuan insurans kesihatan

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying. – Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersama-sama industri insurans dan takaful (ITO) serta hospital swasta memperuntukan sumbangan sebanyak RM60 juta untuk mempercepat pembaharuan insurans kesihatan.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, dana itu juga akan digunakan untuk pelaksanaan model pembayaran kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) bagi meningkatkan kecekapan kos penjagaan kesihatan.

Katanya, dana itu juga sebagai kos prosedur perubatan bagi meningkatkan ketelusan dan membantu golongan warga emas beralih kepada pelan perlindungan asas yang lebih mampu milik.

“Kerajaan juga akan memastikan pelaksanaan langkah-langkah ini dipantau secara berterusan bagi menjamin keberkesanannya.

“Dalam masa yang sama, pembaharuan jangka panjang akan dipercepatkan untuk menangani inflasi kos perubatan secara menyeluruh, memastikan produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) kekal mampan dan memenuhi keperluan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu mengulas empat langkah interim yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung produk insurans kesihatan.

Hui Ying berkata, langkah-langkah ini mencerminkan usaha kolektif kerajaan, industri insurans/takaful, dan sektor penjagaan kesihatan untuk memastikan pemegang polisi insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT) terus mendapat perlindungan yang mampan dan mampu milik.

Jelasnya, kerajaan Madani terus komitmen dalam meringankan beban rakyat, khususnya bagi menangani cabaran kenaikan kos perubatan yang kian meruncing.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, atas keprihatinan serta tindakan proaktif terhadap isu ini.

Hui Ying menegaskan, kerajaan akan memastikan langkah-langkah ini dipantau secara berterusan untuk menjamin keberkesanannya.

“Pada masa yang sama, reformasi jangka panjang akan dipercepatkan bagi menangani inflasi kos perubatan secara menyeluruh.

“Langkah interim ini, termasuk penangguhan pelarasan premium bagi warga emas dan pengenalan produk alternatif mampu milik, akan memberikan kelegaan kepada rakyat sementara penyelesaian jangka panjang dirangka,” katanya.

Beliau menjelaskan pemegang polisi boleh menghubungi penyedia insurans atau takaful masing-masing mulai 15 Januari 2025 untuk maklumat lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini