comscore
Tumpuan :
Nasional

RM58.1 bilion peruntukan subsidi 2024, usaha kerajaan bantu rakyat

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan bahawa Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM58.1 bilion jumlah keseluruhan subsidi bagi tahun ini sahaja dalam usaha membantu rakyat khususnya golongan rentan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, agihan peruntukan itu mengikut sektor termasuk kepenggunaan, sara hidup, pendidikan, biasiswa pinjaman, sektor pertanian, faedah dan lain-lain.

“Umpamanya kita tahu dalam Sumbangan Tunai Rahmah (STR) saya sudah sebut ini kalau 2022 ketimbang 2024, peningkatan itu berbilion, sekarang ini sudah sampai RM10 bilion.

“Daripada jumlah RM2,000 hingga RM3,700, ini harus difahami kerana kadang-kadang orang menganggap bahawa penyasaran subsidi ini tidak memberi faedah kepada rakyat.

Umpamanya Skim Subsidi Harga Padi kita naikkan, harga lantai belian padi kita naikkan, mendadak dari 2021, 2022 dan sehingga 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas beliau, kerajaan menaikkan kadar bantuan kepada golongan rentan kerana memikirkan keadaan mereka yang terkesan ketika ini.

Katanya, kadar sara dinaikkan dari RM1,000 kepada RM1,200, bantuan awal persekolahan untuk semua murid dari keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah itu diberi peruntukan RM800 juta.

Kerajaan juga tidak menolak kenyataan bahawa terdapat golongan yang berhadapan masalah ekonomi, justeru langkah berkenaan dibuat dalam cubaan mengurangkan bebanan ditanggung mereka ketika ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini