Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
SHAH ALAM: Kira-kira RM52.8 juta saman tertunggak pelbagai kesalahan melibatkan kenderaan perdagangan belum dibayar setakat 30 September lalu.
Menurut Pengarah Penguatkuasa Kanan Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Lokman Jamaan, jumlah tersebut melibatkan sejumlah 175,909 saman aktif bagi tempoh 5 tahun bermula 1 Januari 2018 sehingga 30 September lalu.
Selangor, negeri yang mencatatkan jumlah terbanyak dengan 61,940 jumlah saman tertunggak, diikuti Pahang dengan 16,372 dan Perak 13,790.
“Mereka ini telahpun diberikan tempoh melunaskan saman tetapi masih gagal melaksanakan tanggungjawab.”
“Jadi tindakan lebih keras dan tegas akan dilakukan bagi memberi peringatan mereka agar dapat mematuhi peraturan tersebut.”
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci kategori saman-saman yang tertunggak itu.
Menurutnya lagi, ia sekaligus menunjukkan ketirisan dari segi pematuhan undang-undang lalu lintas, dengan operasi pemutihan akan dilaksanakan kepada syarikat dan pemandu kenderaan perdagangan itu.
Ujarnya, dengan operasi itu, ia secara langsung dapat mengesan syarikat dan pemandu yang ingkar membayar saman dan yang telah disenarai hitam atau diberikan waran tangkap.
“Ops Patuh Khas fasa kedua melibatkan kenderaan perdagangan selama sebulan bermula 1 Oktober lalu turut memfokuskan ke arah membudayakan pematuhan undang-undang dan peraturan-peraturan keselamatan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“JPJ tidak akan berkompromi dengan pemeriksaan secara teliti akan dijalankan termasuk dari sudut teknikal, kompetensi pemandunya, perlindungan insurans dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sah supaya layak berada di jalan raya,” katanya.
Dalam pada itu, Lokman berkata, sebanyak 420,334 buah motosikal telah diperiksa sepanjang Ops Patuh Khas Fasa Pertama yang diadakan sepanjang September lalu.
“Hasil ops itu, 135,446 notis dikeluarkan dengan kesalahan utama dikesan adalah tiada perlindungan insurans sebanyak 51,643 kes diikuti tiada lesen memandu (39,648), teknikal (12,550) dan langgar isyarat lalu lintas (1,758).
“Malah, JPJ juga telah menyita 6,567 buah motosikal yang diklasifikasikan tidak mematuhi piawaian keselamatan bagi kegunaan di atas jalan raya awam,” katanya.