comscore
Tumpuan :
Nasional

RM50,000 untuk Skuad B-18, B-15 Sabah ke MSSM di Johor

Pertemuan antara Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin (tengah) bersama Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan (kanan) dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Raisin Saidin (kiri) di Kementerian Belia dan Sukan Sabah.

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Kekecewaan seorang guru tiada dana untuk menghantar skuad bola sepak Sabah kendaliannya ke peringkat Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) peringkat Kebangsaan yang tular baru-baru ini akhirnya mendapat reaksi Kerajaan Negeri Sabah yang memberikan sumbangan RM50,000 kepada pasukan itu.

Ia bagi membolehkan pasukan bola sepak Sabah bawah 18 tahun (B-18) dan B-15 bersaing di peringkat MSSM di Johor, 25 Ogos depan.

Artikel berkaitan: ‘Saya sudah hubungi KPM’ – Pengarah JPN Sabah

Sumbangan diberi menerusi Kementerian Belia dan Sukan Sabah itu selepas keluhan pasukan terbabit yang mendakwa terpaksa melupakan hasrat menyertai kejohanan peringkat kebangsaan disebabkan kekangan kewangan.

Keluhan yang disuarakan juara bola sepak bawah 18 tahun Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sabah dari Keningau sebelum ini tular di media sosial, antara lain mengatakan Jabatan Pendidikan Negeri tidak dapat membantu disebabkan tiada dana.

Tanpa dana daripada Jabatan Pendidikan atau Kementerian Pendidikan, sukar untuk pasukan dari Sabah untuk menghadiri kejohanan di Johor itu berikutan kos penerbangan yang tinggi.

Mengambil maklum terhadap keluhan itu, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin, dalam sidang medianya hari ini, mengumumkan peruntukan segera untuk kedua-dua pasukan itu agar dapat menghadiri kejohanan di Johor minggu depan.

Pemberian khas itu ujarnya sebagai tanda semangat kesukanan dalam kalangan rakyat di negeri Sabah selain mahu atlet Sabah dapat beraksi di peringkat yang lebih tinggi.

“Program ini sebenarnya bukanlah di bawah kelolaan pihak kementeran tetapi sebagai orang Sabah dan semangat kesukanan itu sendiri, saya membentangkannya ke kabinet negeri.

“Saya mengatakan bahawa penting untuk kita membantu mereka kerana kita yakin satu hari nanti mereka pasti akan melangkah ke peringkat lebih tinggi.

“Jemaah Kabinet semua menyokong dan sebanyak RM50,000 diluluskan untuk peruntukan khas bagi membantu pasukan bawah 15 dan 18 tahun yang akan beraksi pada MSSM di Johor minggu depan,” katanya.

Hadir sama Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Raisin Saidin dan  Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah, Mohd Asneh Mohd Noor.

Ellron berkata, pihaknya juga berharap agar Jabatan Pendidikan Negeri dapat memohon segera dana tambahan daripada Kementerian Pendidikan untuk disalurkan kepada kedua-dua pasukan.

“Saya berharap agar pasukan yang akan mewakili Sabah ini dapat melakukan yang terbaik dan menjuarai kejohanan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Raisin merakamkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas pemberian peruntukan khas bagi membiayai perbelanjaan pasukan bola sepak berkenaan. Beliau mengakui, pelajar yang menyertai kedua-dua pasukan bola sepak itu memerlukan pelbagai sokongan untuk membina keyakinan diri dan membina masa depan yang lebih cerah.

“Memang betul mewakili Sabah itu satu penghormatan amat tinggi, peluang keemasan ini tidak boleh kita lepaskan. Mereka ini adalah kumpulan pelapis negeri kita,” katanya.

Loading...
Terkini