Tumpuan :
Nasional

RM5.5 juta untuk tambah baik infrastruktur Pasar Siti Khadijah – PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir melawat Pasar Siti Khadijah hari ini. Foto NSTP

KOTA BHARU: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM5.5 juta bagi penambahbaikan infrastruktur Pasar Siti Khadijah, di Kelantan.

Perdana Menteri berkata, kos berkenaan meliputi aspek kebersihan, tandas, baik pulih bumbung dan sistem pendawaian.

Katanya, peruntukan itu menjadikan keseluruhan RM7 juta yang sudah diluluskan oleh Kerajaan Pusat sejak tahun lalu.

“Pada November tahun lalu, kita sudah luluskan peruntukan RM500,000 untuk baik pulih bumbung dan RM1 juta pada tahun ini untuk proses mengecat dan baik pulih struktur konkrit yang merekah.

“Disebabkan masih ada proses yang perlu dilakukan termasuk sistem pendawaian yang perlu ditukar, hari ini kita mengumumkan peruntukan RM5.5 juta pula menjadikan keseluruhan RM7 juta untuk Pasar Besar Siti Khadijah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Peniaga Pasar Besar Siti Khadijah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Anwar berkata, beliau turut mengarahkan pihak berkuasa tempatan PBT dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) memantau dan menyegerakan projek berkenaan.

“Jika projek ini perlu ditender sekalipun, ianya mesti dilakukan dengan cepat.

“Ini kerana Pasar Besar Siti Khadijah menjadi tumpuan orang ramai dan terdapat seramai 1,500 peniaga. Apa yang kita usahakan ini demi mengenangkan ribuan penaga di sini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini