
Oleh: Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM464.45 juta diperuntukkan bagi 2,703 unit Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) Bina Baharu dan 10,281 unit PPRS Baik Pulih di seluruh negara.
Melalui peruntukan itu, kadar bantuan bagi PPRS Bina Baharu di Semenanjung Malaysia dinaikkan daripada RM66,000 kepada RM79,000, manakala di Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan, kadar itu meningkat daripada RM79,000 kepada RM85,000.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, berkata kadar bantuan bagi PPRS Baik Pulih di seluruh negara turut dinaikkan daripada RM15,000 dan RM17,000 kepada maksimum RM20,000.
“Dalam masa yang sama, keluasan rumah PPRS turut ditingkatkan daripada 660 kaki persegi kepada 680 kaki persegi dengan pelan baharu yang berkonsepkan mesra syariah serta susun atur baharu yang membolehkan rumah dibina secara melintang atau menegak bagi memberikan fleksibiliti serta mewujudkan suasana kejiranan yang lebih harmoni. Sebelum ini, rumah hanya dibina secara melintang sahaja,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menambah, kriteria kelayakan PPRS masih dikekalkan untuk Ketua Isi Rumah miskin dan miskin tegar, dengan keutamaan diberikan kepada warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan ramai, serta mangsa bencana berskala kecil.
Untuk rekod, melalui keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Ogos tahun lalu, Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) telah diluluskan untuk dijenamakan semula sebagai Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.