Tumpuan :
Nasional

RM40 juta disalur kepada JPS, selenggara 302 sistem telaga tiub sekolah di Sabah, Sarawak

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh. – Foto fail

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM40 juta disalurkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melaksanakan penyelenggaraan 302 sistem telaga tiub sekolah di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, usaha itu bagi memastikan sekolah di Sabah dan Sarawak memperoleh bekalan air bersih untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif.

“Sebanyak 302 buah sekolah luar bandar Sabah dan Sarawak masih mempunyai sistem telaga tiub yang beroperasi dan di selenggara secara berkala melalui Kontrak Projek Perkhidmatan Penyelenggaraan Sistem Telaga Tiub Sekolah-Sekolah Pedalaman Sabah dan Sarawak yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)” katanya dalam Sidang Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut beliau menjelaskan, sejak 2021 sehingga kini, Kementerian Pendidikan (KPM) bersama kerajaan Sabah dan Sarawak serta Jabatan Kerja Raya (JKR), telah melaksanakan pembinaan dan pemasangan bekalan air telaga tiub di kawasan pedalaman dengan jumlah nilai kontrak peruntukan yang diluluskan iaitu RM94.5 juta.

Di bawah projek itu, sebanyak 90 sekolah telah dikenal pasti dan disenaraikan bagi projek berkenaan iaitu 79 di Sabah dan 11 di Sarawak.

Pembinaan sedang dilaksanakan dengan giat dan purata kemajuan fizikal projek bagi 64 sekolah telah mencapai 59.85 peratus.

“Tempoh kontrak kerja ditetapkan selama dua tahun dan dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun 2025,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Soon yang meminta KPM menyatakan usaha yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian untuk memastikan bekalan air bersih disalurkan ke sekolah khususnya di luar bandar yang belum mempunyai akses air bersih.

Kah Woh turut memaklumkan, tahun ini juga sebanyak 16 sekolah telah diluluskan penukaran skop projek kepada penggunaan teknologi Penjana Air Atmosfera (AWG), manakala 10 buah sekolah di Sabah pula dalam proses kelulusan penukaran skop AWG.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini