KUALA LUMPUR: Sejumlah RM302 juta transaksi tidak sah dan mencurigakan setakat September lepas berjaya disekat institusi kewangan dalam negara.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying ,ia merupakan impak positif yang diperoleh susulan pelaksanaan lima langkah pencegahan utama oleh institusi kewangan di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam memastikan keselamatan pengguna perbankan dalam talian terjaga.
“Sejak September 2022, institusi kewangan berjaya menyekat transaksi tidak sah dan mencurigakan bernilai RM383 juta bagi 2023 dan RM302 juta setakat September tahun ini.
“Trend kes penipuan pancingan data atau data phishing dan perisian hasad (malware) yang dilaporkan kepada BNM juga menunjukkan trend penurunan sebanyak 60 peratus,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Mengulas lanjut, Hui Ying berkata BNM akan terus berusaha mengukuhkan lagi keselamatan perbankan internet dan mudah alih dengan melaksanakan langkah tambahan untuk memperkasakan keupayaan institusi kewangan dalam mengesan transaksi tidak sah dan mencurigakan.
Beliau turut menegaskan BNM telah mengambil tindakan segera dengan mengarahkan institusi perbankan yang terlibat dengan insiden gangguan perkhidmatan perbankan dalam talian supaya menentukan punca utama gangguan.
Di samping itu, Hui Ying memaklumkan bank pusat juga mengarahkan institusi perbankan terlibat untuk menetapkan langkah pembetulan dan pencegahan yang sesuai bagi mengelakkan isu yang sama berulang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.