Tumpuan :
Nasional

RM3 Juta Tingkat Keupayaan JBPM Hadapi Musim Tengkujuh

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menambah aset penyelamatan keseluruhan berjumlah RM3 juta bagi menghadapi musim banjir di seluruh negara yang dijangka bermula November ini.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, ia melibatkan 60 buah bot khas dan 100 unit pencahayaan sekaligus meningkatkan kecekapan operasi mencari dan menyelamat pasukan itu.

Menurutnya, tambahan aset itu susulan kaedah dan pendekatan penyelamatan yang berbeza terhadap mangsa banjir di enam negeri ‘tradisi’ banjir dan mangsa banjir di kawasan-kawasan perbandaran.

“Banjir di kawasan-kawasan bandar ini kalau kita tengok pada tahun lepas kawasan ini kaedah dan pendataan kita sikit berbeza berbanding negeri-negeri tradisi banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak

“Sebab itu kita telah mendapatkan perolehan 60 buah bot khas yang mana ia mempunyai keupayaan untuk bergerak lebih cepat dan pantas khususnya di kawasan perbandaran.

“Tahun lepas, kita juga hadapi isu pencahayaan yang kritikal dan telah membeli 100 unit pencahayaan melibatkan keseluruhan aset bernilai RM3 juta untuk kegunaan di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutupan Kursus Pengurusan Bencana Peringkat Negeri Melaka yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam di Pantai Puteri di sini hari ini.

Hadir sama Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor, Tuminah Kadi.

Turut sama Pengarah Bahagian Udara, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Nazili Mahmood, Pengarah Korporat Penolong Pesuruhjaya Bomba Shauki Hamzah dan Pengarah Bomba Negeri Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain.

Mengulas lanjut Datuk Nor Hisham berkata, dari segi kesiapsiagaan pasukan penyelamat itu, seramai 12,718 anggota bomba di seluruh negara sudah bersiap sedia bersama-sama hampir 2,000 aset air dan darat untuk digerakkan ke 4,872 lokasi banjir bagi menghadapi banjir musim tengkujuh tahun ini.

“Dari segi logistik ini semua telah kita perkukuhkan khususnya dengan pengambilan hampir penuh keanggotanan kita yang berada dikapasiti 96 peratus termasuk tumpuan yang diberikan di enam negeri utama tradisi banjir.

“Selain banjir, kita juga telah mengenalpasti 186 lokasi yang berisiko berlaku bencana kepala air selain 122 cerun kritikal,” katanya.

Loading...
Terkini