comscore
Tumpuan :
Nasional

RM3 juta naik taraf tebing Sungai Melantai dan Mengkibol elak banjir 

Oleh : Zahir Senapiah

KLUANG: Kerajaan Johor membelanjakan RM3 juta bagi menaik taraf tebing sungai Melantai dan Mengkibol yang terletak di tengah bandar Kluang yang sebelum ini dikenalpasti punca bencana banjir yang sering melanda bandar berkenaan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, untuk tahun ini sudah RM1 juta dibelanjakan untuk naik taraf tebing kedua-dua sungai terbabit bagi memastikan air sungai tidak melimpah apabila hujan lebat.

“Sememangnya kita sedar limpahan air Sungai Melantai dan Sungai Mengkibol adalah punca banjir di kawasan Kluang dan tindakan sewajarnya sudah diambil.

“Projek di Sungai Melantai berharga RM409,000 yang siap pada 9 September lalu dan Projek Pengukuhan Tebing Sungai Melantai bernilai RM326,000 juga telah siap pada 19 Ogos lalu,” katanya.

Jelasnya, tiga lagi projek yang sama membabitkan Kampung Palembang Baru bernilai RM175,000 juga telah siap pada  21 Ogos lepas.

Beliau mengulas dakwaan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada Bersatu) Johor, Mohamad Syafiq Mohd Khairul Sam meminta kerajaan menjelaskan peruntukan projek tebatan banjir di Sungai Melantai.

 

Mohamad Syafiq mendakwa, peruntukan sudah disalurkan tetapi projek itu masih gagal dilaksanakan.

Mohd Fazli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Pasir berkata, bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB), kerajaan negeri sudah memohon peruntukan bernilai hampir RM1 bilion bagi mengatasi masalah banjir di kedua-dua sungai berkenaan.

“Kerajaan negeri telah memohon satu projek besar iaitu RTB bernilai keseluruhan RM800 juta ke RM1 bilion melibatkan kedua-dua sungai ini,” tambahnya.

Beliau sebelum itu menyertai program gotong-royong membersihkan Sungai Mengkibol bersama Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon di Kluang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini