comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] RM3 bilion tingkatkan infrastruktur sawah – PM

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi komitmen untuk menyediakan peruntukan RM3 billion bagi meningkatkan infrastruktur sawah seluruh negara dalam usaha menjayakan dasar penanaman padi 5 musim dalam tempoh 2 tahun.

Usaha itu katanya akan dilakukan dengan tumpuan kepada kawasan di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

“Saya hendak pastikan bahawa nasib pesawah padi di bawah pentadbiran Kerajaan perpaduan terbela. Sasarannya meningkatkan pendapatan RM1,200 kepada RM1,800 sebulan.

“Langkah ini juga akan membolehkan masalah keterjaminan makanan asas itu dapat diselesaikan,” katanya.

Program itu yang dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan memfokuskan kepada membawa pulangan dalam bentuk pendapatan yang tinggi kepada pesawah.

“Saya harap program sawah pintar berskala besar ini, akan dapat dijayakan dengan kerjasama semua pesawah. Saya mahu MADA menjadi contoh dan teladan dalam menjayakan program ini,” katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra bersama nelayan, pesawah dan pekebun kecil peringkat negeri Kedah di sini, hari ini.

Anwar pada masa sama menegaskan, kerajaan akan terus komited membantu pekebun kecil getah dan nelayan.

Pekebun kecil sebelum ini katanya menerima Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram manakala sumbangan musim tengkujuh ditambah daripada RM600 kepada RM800 untuk tempoh empat bulan.

Manakala untuk golongan nelayan katanya bantuan diberi sehingga RM300 sebulan.

Pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan juga buat pertama kali menerima bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM200 yang memanfaatkan lebih 850,000 orang.

Loading...
Terkini