JERLUN: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukan RM26.48 juta bagi membantu 44,139 pesawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menerusi Bantuan Khas Sumbangan Tunai (BKST) Fasa 2 Tahun 2024.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata menerusi bantuan itu pesawah yang layak akan menerima RM200 sebulan yang diagihkan untuk tempoh tiga bulan atau semusim penanaman padi.
Katanya, sumbangan itu adalah satu skim bantuan khusus untuk golongan pesawah padi yang berdaftar dengan agensi yang dilantik oleh KPKM.
“Kita harapkan bantuan ini dapat membantu meringankan beban pesawah yang menghadapi kesan perubahan cuaca yang tidak menentu…apa yang berlaku ini bukan saja dihadapi negara kita tetapi juga negara maju.
“Cuma kalau di negara seperti Amerika Syarikat itu dia ada teknologi canggih dari sudut amaran awal, kita pun ada amaran awal misalnya gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku 9 hingga 14 Disember, memang hujan lebat turun di utara dan Pantai Timur tetapi tidak sehebat sebelum itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ditemui selepas menghadiri Program Ihsan MADANI – Penyerahan BKST Fasa 2 tahun 2024, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 250 orang pesawah dari Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kerpan, PPK Kubang Sepat, PPK Jerlun dan PPK Kuala Sungai menerima bantuan BKST Fasa 2 .
Bagi pesawah lain, bantuan itu akan terus disalurkan ke akaun bank masing-masing bermula minggu depan.
Selain itu, Mohamad berkata, seramai 4,854 orang pesawah MADA akan menerima bantuan wang ihsan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) berjumlah lebih RM10.48 juta.
Katanya, bantuan itu disalurkan kepada pesawah-pesawah yang terkesan dan terjejas akibat bencana banjir di kawasan MADA membabitkan kawasan seluas 5,976 hektar pada September dan Oktober lalu.
Sementara itu, Mohamad berkata, setakat ini, hanya kira-kira 20 peratus pesawah MADA mendaftar Skim Takaful Tanaman Padi (STTP).
Katanya, kementerian sangat berharap lebih ramai pesawah yang akan mendaftar supaya mereka dapat dilindungi menerusi skim berkenaan jika tanaman terjejas akibat bencana, penyakit dan perosak.
“Pesawah yang berdaftar akan dibantu Agrobank yang akan terus memberi bantuan kepada mereka, caruman awal dibuat sendiri oleh bank, pesawah hanya perlu mendaftar menerusi PPK dan cawangan Agrobank,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.