PUTRAJAYA: Kementerian Kerja Raya (KKR) membelanjakan RM73.45 juta setakat enam bulan pertama tahun ini bagi kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan seluruh negara termasuk membaiki jalan raya berlubang.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, selain itu peruntukan berkenaan membabitkan penyelenggaraan antaranya tiang lampu dan pembahagi jalan.
Menurutnya, peruntukan yang sudah dibelanjakan itu adalah sebahagian daripada RM217.8 juta yang diperuntukkan kerajaan menerusi peruntukkan My Jalan bagi kerja berkenaan.
“Sebanyak 2,950 jalan berlubang sudah dibaiki sehingga 30 Jun lalu termasuk penyelenggaraan ‘guardrail’, papan tanda, garis jalan yang pudar, longkang dan pembentungan serta kerja pemotongan pokok.
“KKR sedang merangka kempen My Jalan merangkumi usaha untuk mengatasi pelbagai isu utama seperti jalan, lampu jalan, perabot jalan dan sebagainya.
“Kita mahu berkempen berorientasikan tindakan berlandaskan konsep ‘action speaks louder than words’,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika lawatan bagi memantau pengujian Sistem Pembayaran Tol Terbuka (SPT) di Plaza Tol Putrajaya, Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX), di sini, hari ini.
Katanya, bagi memudahkan aduan berhubung jalan rosak dibuat, KKR sedang menaiktaraf aplikasi khas untuk sistem aduan sedia ada.“Aplikasi itu dapat memberikan di mana lokasi tepat isu jalan rosak yang dihantar oleh pengadu,” katanya.
Mengulas lanjut tujuan kempen My Jalan, Nanta berkata ia untuk meningkatkan penglibatan semua pihak terutama pemain industri, agensi kerajaan dan swasta serta rakyat sendiri dalam usaha menjaga jalan raya dan infrastruktur berkaitan.
“Aduan awam juga digalakkan dan kementerian sedang berusaha menyediakan satu saluran aduan ‘one stop center’ (pusat hentian setempat) yang dapat memudahkan dan melancarkan proses aduan, ia akan dilancarkan juga melalui kempen ini,” katanya.