Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
BENTONG: Kerajaan Negeri Pahang meluluskan peruntukkan sebanyak RM200,000 untuk menyelesaikan masalah banjir dan kepala air yang berlaku di sini, semalam.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukkan itu diluluskan serta merta bagi membaiki paip dan longkang yang menjadi punca berlakunya insiden itu.
“Tadi kita telah berbincang, dan saya memberitahu perlu ada satu tindakan jangka masa panjang dan dalam masa sama perlu ada tindakan jangka masa pendek.
“Untuk membaiki longkang ini semua, saya tanya pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan mereka menyatakan anggaran RM200,000.
“Jadi pada hari ini kerajaan negeri meluluskan RM200,000 untuk tindakan serta merta untuk membaiki paip dan longkang yang tersumbat,” katanya kepada Buletin TV3 di sini, hari ini.
Jelasnya, beliau telah meminta pihak berkaitan untuk membuat permohonan rasmi bagi pelan jangka masa panjang.
Sebagai pelan tindakan jangka masa panjang, sebuah jambatan bernilai kira-kira RM5 juta juga akan dibina di Bukit Tinggi.
“Makna bila ada jambatan ni, kita dapat mengelak masalah ini. Kalau tidak, jika kita ‘repair’ (jalan berkenaan), perkara yang sama akan terus berulang,” katanya ketika melawat dan menyerahkan bantuan kepada penduduk yang terkesan dengan kejadian banjir semalam.
Untuk rekod, jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) Bentong berkata, Jalan Kuala Lumpur – Bentong (jalan lama) FT68 iaitu kira kira 100 meter ke simpang Janda Baik ditutup sementara kepada semua kenderaan kerana tanah runtuh sepanjang 100 meter.
Menurut kenyataan itu, pengguna diminta menggunakan jalan alternatif iaitu Lebuhraya KL-Karak ke Janda Baik dari arah Bentong.