Oleh: Juliana Sharin
BANTING: Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan RM200 juta bagi memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan tambahan itu akan disalurkan melalui Perbadanan Tabung Kemahiran Negara, selain Majlis TVET Negara bertanggungjawab menentukan bidang keutamaannya.
Beliau ditemui ketika merasmikan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara (HTN) 2024 juga meluncurkan Dasar TVET Negara 2030 yang bakal mengubah hala tuju pembangunan bidang itu di negara ini.
Dasar tersebut akan menjadi rujukan utama seluruh institusi TVET sekali gus memastikan semua program kemahiran bidang tersebut dilaksanakan secara lebih efektif dan berkesan.
Datuk Seri Anwar turut meluluskan dua lagi cadangan dilontarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara iaitu untuk diadakan Program Minggu TVET atau Sambutan Hari TVET di peringkat sekolah.
Ia bagi memberi lebih pemahaman kepada pelajar sebelum mereka melangkah keluar dari alam persekolahan.
Beliau turut menerima mencadangkan untuk diadakan lebih banyak segmen khusus seperti TeknoUsahawan, TVET Tahfiz termasuk untuk lebih capaian segmen masyarakat lain seperti TVET Orang Asli, TVET orang kurang upaya (OKU), pelajar TVET Orang Asal di Sabah dan Sarawak serta anak muda di luar bandar.
Ini bagi memastikan usaha berterusan dan terangkum untuk segenap lapisan masyarakat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa