comscore
Tumpuan :
Nasional

RM20 juta bagi atasi masalah perparitan punca banjir di DUN Batu Rakit

ADUN Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman (baju kelabu) bersama Pengarah YADIM Terengganu, Nasrul Hadi Saidi (kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di SK Kompleks Mengabang Telipot, Kuala Terengganu. – FOTO: NSTP

KUALA NERUS: Sebanyak RM20 juta diperlukan bagi menyelesaikan masalah perparitan yang sering berlaku banjir dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman berkata pihaknya sudah mengangkat beberapa permohonan dengan kerajaan Terengganu untuk tujuan itu.

Ketika Terengganu di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) pada 2017, beliau berkata, sebanyak RM5 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja perparitan membabitkan enam buah kampung dalam DUN berkenaan.

“Baru-baru ini, banyak kawasan dilanda banjir dan punca utama dikenal pasti adalah masalah perparitan terutama di beberapa kawasan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Jadi, kita mohon kerajaan negeri mengambil cakna dalam hal ini kerana ini membabitkan isu rakyat dan jika tidak ditangani, rakyat akan terus menanggung kerugian ribuan ringgit setiap kali banjir,” katanya yang ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada 50 mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Mengabang Telipot, di sini.

Bantuan keperluan harian itu adalah hasil sumbangan daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Terengganu.

Bazlan berkata, sejak menjadi ADUN pembangkang, pihaknya juga tidak menerima peruntukan yang secukupnya daripada kerajaan negeri sekaligus banyak perkara tidak dapat dilakukan dalam kadar segera.

“Sebelum ini, jika mahu menghadapi musim tengkujuh kerja-kerja pembersihan dan pembesaran longkang akan dilakukan dua kali setahun.

“Jadi, sekiranya pihak kerajaan Terengganu tidak dapat melakukan secara serentak, permasalahan perparitan ini mesti dilakukan secara berperingkat bagi mengelak rakyat terus menghadapi masalah sama setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, Pengarah YADIM Terengganu, Nasrul Hadi Saidi berkata, pihaknya membelanjakan RM50,000 untuk membantu mangsa banjir di seluruh negeri ini sehingga Disember tahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya bukan saja melakukan misi bantuan bencana banjir dengan mengagihkan sumbangan keperluan makanan, malah turut membantu memasak kepada mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Sukarelawan YADIM di negeri ini seramai 1,245 orang dan sentiasa diaktifkan dengan membantu mangsa banjir di negeri ini. Diharapkan sumbangan yang diberikan mampu meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir,” katanya.

Loading...
Terkini