comscore
Tumpuan :
Nasional

RM2 juta diperuntukkan bantu rakyat daftar cap dagangan

Foto: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR: RM2 juta diperuntukkan dibawah Payung Rahmah bagi pelaksanaan program pendaftaran cap dagangan, reka bentuk dan perindustrian kepada rakyat negara ini khususnya pelajar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, berdasarkan inisiatif Payung Rahmah, pendaftaran secara percuma diberikan kepada pelajar yang ingin mendaftarkan paten ciptaan mereka.

Beliau berkata, sebanyak sembilan program membabitkan 1,650 pelajar dilaksanakan, antaranya usahawan cilik harta intelek (IP), program ‘Youth IP’ di bawah inisiatif berkenaan.

“Melalui inisiatif Payung Rahmah, kita sudah memperuntukkan konsep mendaya-upaya dan geran sebanyak RM2 juta diperuntukkan di mana rakyat Malaysia khususnya pelajar yang mula menunjukkan bakat mereka diberikan pendaftaran percuma.

“Pendaftaran percuma itu bagi mendaftarkan dalam bentuk cap dagangan, reka bentuk, perindustrian, petunjuk geografi dan hak cipta,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Richard Rapu@Aman (GPS-Betong) mengenai inisiatif mahupun bantuan yang boleh dilakukan bagi menggalakkan penciptaan dan inovasi oleh pelajar peringkat menengah mahupun siswa universiti untuk mendaftar paten ciptaan mereka.

Menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) bahawa porgram geran dana pemfailan IP sudah dimulakan pada 2022 lagi dengan peruntukan RM4 juta dan bukannya baharu diperkenalkan di bawah Payung Rahmah, Salahuddin bagaimanapun berkata, perkara itu bukan keutamaan.

“Saya tidak kisahlah Rahmah ke tidak Rahmah, bila ia dibuat itu tidak mengapa… asalkan yang baik kita lanjutkan, itu penting supaya keputusan akhirnya, rakyat dapat kepentingan,” katanya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini