Oleh: Fatin Hanani Sahimi
KUALA LUMPUR: Bagi menghargai pengorbanan perajurit yang menabur bakti memastikan negara sentiasa aman, sejumlah RM2.5 juta sumbangan diberi kepada 15,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas pada Hari Raya Aidiliftitri tahun ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sumbangan itu diberikan oleh 93 penyumbang terdiri daripada syarikat, badan korporat serta individu berbentuk kewangan dan barangan.
“Seperti sedia maklum tentera sepanjang masa sama ada di sempadan darat ataupun laut ia bertujuan bukan sahaja menjaga keselamatan tapi untuk pastikan kedaulatan tanah air.
“Kita tahu semua rakyat sayangkan negara termasuk anggota tentera tapi mereka lebih daripada kita dengan menyertai angkatan tentera, berkhidmat dan sanggup berkorban misalnya berhari raya kalau yang lain dapat hari raya dengan keluarga tapi mereka ini mengenepikan semua itu untuk memastikan keselamatan dan kedaulatan terjaga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada ATM, di Auditorium Wisma Pertahanan siang tadi.
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan isteri, Puan Sri Ramlah Dawi yang juga Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT).
Jelasnya, terdapat peningkatan pada keseluruhan sumbangan tahun ini dengan 41 peratus kenaikan berbanding tahun lalu.
“Peningkatan sumbangan itu menggambarkan dua perkara penting, iaitu bukti wujudnya minat dan kemahuan pelbagai pihak, baik sektor korporat mahupun anggota masyarakat untuk bersama-sama menjayakan misi membangunkan ekosistem pertahanan negara yang baik dan berkebajikan untuk semua.
“Kedua ia adalah satu pengiktirafan dan penzahiran kepercayaan kepada keupayaan dan keberkesanan pihak kementerian dan ATM dalam menguruskan segala sumbangan dengan telus dan baik,” ujarnya.
Tambahnya proses penghantaran sumbangan berkenaan akan dilakukan secara berperingkat bermula hari ini kepada anggota yang bertugas di seluruh tanah air.
Ia merangkumi ketiga-tiga cabang perkhidmatan, Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), termasuklah anggota yang sedang bertugas di luar negara (PBB).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.