Tumpuan :
Nasional

RM16.42 juta untuk program Pembangunan Kepimpinan Belia Sabah

Hajiji dan Ellron bergambar bersama belia yang menghadiri Program Bicara Pemimpin Muda Bersama Ketua Menteri sempena sambutan peringatan Hari Antidadah Tahun 2023 Peringkat Negeri Sabah di SICC, Kota Kinabalu, hari ini.

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM16.42 juta untuk melaksanakan Program Pembangunan Kepimpinan Belia bagi melahirkan pemimpin belia berkualiti tinggi.

Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, program yang akan dilaksanakan meliputi aktiviti kesukarelawanan dan perpaduan sosial.

Kerajaan negeri ujarnya memberi tumpuan kepada usaha memperkasa modal insan agar sentiasa kompeten, berinovasi, berdaya tahan dan berintegriti.

Sejak menerajui kerajaan negeri pada September 2020, pelbagai inisiatif baharu diperkenalkan beliau kepada belia di Sabah termasuk dalam bidang pendidikan.

Antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran Institut Pengajian Tinggi (IPT) (BUDI), BantuanKhas Tunai Peperiksaan (BAKTI) untuk pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Insiatif lain ialah Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) Sabah (BAGUS), Bantuan Ihsan Tabung Pendidikan Negeri (BISTARI) dan AnugerahKecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA)”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Bicara Pemimpin Muda Bersama Ketua Menteri sempena sambutan peringatan Hari Antidadah Tahun 2023 Peringkat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Hajiji berkata, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) diwujudkan bagi membolehkan lebih ramai anak-anak Sabah ke IPT di dalam dan di luar negara.

Manakala, Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) juga ditubuhkan di IPT seluruh negara supaya mahasiswa dapat menyuarakan pandangan, idea serta cadangan bagi pembangunan Sabah.

Dalam bidang keusahawanan pula, beberapa skim diperkenalkan seperti Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) untuk membantu belia yang terjejas akibat penularan COVID-19.

“Program ini akan diteruskan dan saya menyarankan Majlis Belia Sabah (MBS) dapat menjadi penggerak penting kepada pelaksanaan SYABAS pada tahun ini”, tegasnya.

Beliau berkata, pelaksanaan Felo SMJ yang bermula tahun lalu akan diteruskan tahun ini di bawah Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKBS).

Ia akan diselaras Presiden MBS dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) serta Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR).

Menurut Hajiji, menerusi Belanjawan 2023 Sabah, RM97.5 juta diperuntukkan bagi pembangunan belia dan sukan di Sabah.

“Pembangunan modal insan tidak hanya kepada potensi belia semata-mata. Saya amat mengambil berat akan pelan pembangunan belia berisiko terutamanya dalam isu penagihan dadah”.

“Saya mengambil maklum mengenai pemerkasaan program kesedaran awam mengenai salah guna dadah di kalangan belia. Saya percaya MBS dan badan-badan gabungannya mampu menjadi faktor pelindung kepada belia-belia berisiko”, katanya.

Serentak itu, Hajiji berharap Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan MBS berganding bahu dalam memastikan program pendidikan pencegahan dadah dilaksanakan di kawasan berisiko tinggi.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri bertekad untuk membawa Sabah terus maju dan makmur serta hak dan kepentingan terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan terus diperjuangkan, terutamanya yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita berpendirian semangat dan prinsip MA63 itu sentiasa hidup dan relevan hingga hari ini dan masa depan”, katanya.

Katanya, pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang akan genap dua tahun 29 Mac depan berjaya meningkatkan hasil negeri hampir RM7 bilion berbanding RM4 bilion di awal pelaksanaannya.

“Kita akan memastikan segala perancangan dilaksanakan, di samping mengenal pasti strategi serta meneroka peluang dan potensi baharu, termasuk usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Sabah di bawah inisiatif mesra pelabur SMJ”, katanya.

Turut hadir pada majlis ini, Menteri Belia dan Sukan Negeri Datuk Ellron Angin dan Presiden Majlis Belia Sabah Abqaree Fawwaz Abekan.

Loading...
Terkini