Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membelanjakan RM13.7 juta untuk menaik taraf perkhidmatan capaian internet di tiga universiti awam.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia membabitkan Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
“Sebanyak RM13.7 juta akan dibelanjakan oleh MCMC untuk tujuan memperoleh lebih 2,000 ‘access point’ (titik akses) WiFi untuk membantu pelajar di tiga universiti tersebut sebagai langkah permulaan.
“Kesemua peralatan WiFi ini akan dipasang bermula Januari, jadi kita harapkan dalam masa yang terdekat, sekurang-kurangnya tiga universiti ini akan lengkap (dengan titik akses WiFi),” katanya.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian pada sidang media mingguan pasca Mesyuarat Jemaah Menteri.
Jelasnya, usaha menaik taraf capaian internet akan diikuti di universiti awam lain.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar telah mempengerusikan perbincangan berhubung isu capaian internet di universiti awam pada 5 Disember lalu.
Perbincangan itu dihadiri semua Naib Canselor universiti, wakil Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Menteri Pengajian Tinggi (Datuk Seri Zambry Abd Kadir) juga memaklumkan kepada (Mesyuarat) Jemaah Menteri tentang usaha pihak KPT melengkapkan, menyiapkan semua universiti awam dengan perkhidmatan internet.
“Ada dalam kalangan universiti awam yang hadapi masalah disebut ‘mobile outdoor coverage’, ’in building coverage’ dan juga WiFi,” katanya.
Pada September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan MCMC dan KPT untuk bekerjasama pantas untuk menyelesaikan isu kelemahan capaian internet terutama di institut pengajian tinggi awam (IPTA).
Susulan itu, Zambry dilaporkan berkata, KPT sedang berusaha memastikan capaian Internet di semua IPTA berada pada tahap tertinggi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.