Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
SHAH ALAM: Kerajaan memperuntukkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) sebanyak RM127 juta bagi membantu 318,642 pekebun kecil getah yang terjejas akibat musim tengkujuh pada tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan tersebut disalurkan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi meringankan beban pekebun kecil dalam menghadapi cabaran pengeluaran hasil getah ketika ini.
Pekebun-pekebun yang menerima bantuan tersebut adalah pekebun yang terdiri daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahan Getah (RISDA), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).
“Bantuan sebanyak RM200 tersebut dibayar sebanyak dua kali pada bulan November dan Disember bagi membantu pekebun-pekebun kecil yang terjejas dengan banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Pelancaran Rissmart24 dan pelancaran syiling Peringatan Jubli Emas Risda di sini, hari ini.
Ahmad Zahid turut memberi peringatan kepada penduduk di negeri Johor dan Pahang agar berwaspada dengan situasi banjir yang berlaku pada ketika ini.
“METMalaysia meramalkan banjir besar akan berlaku di negeri Pahang dan Johor susulan perubahan laluan air yang berlaku.
“Saya mohon agar penduduk terutama yang tinggal di kawasan rendah bersiap siaga kerana amaran yang diberikan oleh METMalaysia ini perlu dipatuhi dan jangan berpindah disaat-saat akhir,” ujarnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.