Tumpuan :
Nasional

RM12 bilion diperuntuk bagi perolehan aset, kelengkapan ATM

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.-Foto fail NSTP

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM12 bilion bagi perolehan dan kelengkapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memenuhi keperluan dan cabaran semasa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara perolehan aset utama yang telah diluluskan pada tahun ini termasuk Meriam 105 milimeter Pack-Howitzer untuk Tentera Darat.

“Perolehan aset termasuk Surface to Surface Missile (SSM) bagi kegunaan KD JEBAT milik TLDM dan 3 unit Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System (MALE UAS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2025 di Wisma Perwira di sini hari ini.

Selain itu, pihaknya akan turut memastikan perkembangan dan kemajuan pembinaan aset-aset penting mencapai kemajuan yang dijadualkan termasuk kapal tempur pesisir (LCS).

Katanya, LCS1 kini telah memulakan Ujian Penerimaan Pelabuhan (HAT) dan Ujian Penerimaan Laut (SAT) dengan kemajuan persiapan mencapai 96.52 peratus.

“LCS2, LCS3, LCS4 dan LCS5, masing-masing dijangka mencapai 86.61 peratus, 76.60 peratus, 65.05 peratus dan 48.72 peratus kemajuan.

“LCS2 juga telah diturunkan ke air dan sedang menjalani Setting To Work (STW), LCS3 pula sedang dalam persiapan akhir untuk diturunkan ke air yang dirancang pada Januari 2026,” katanya.

Bagi pembinaan kapal misi pesisir (LMS) batch kedua pula, katanya kemajuan kerja bagi ketiga-tiga kapal berkenaan dijangka mencapai 13.8 peratus secara keseluruhannya pada Jun 2025.

“LMSB2-1, LMSB2-2 dan LMSB2-3 masing-masing disasarkan mencapai 17.1 peratus, 13.9 peratus dan 10.4 peratus kemajuan.

“Pada masa yang sama, bagi pesawat FLIT-LCA KAI FA-50 Block 20 sedang mencapai status kemajuan sehingga 48 peratus buat masa ini. Kita akan memantau perkembangan ini secara teliti pada tahun ini.

“Mengikut perancangan, dua buah pesawat pertama akan diterima pada Oktober 2026, selain itu, kita sedang mengusahakan perolehan Pesawat Ronda Maritim (Maritime Patrol Aircraft (MPA) untuk tujuan pengawasan kawasan maritim dan aset ini dijangka akan diterima pada bulan Jun dan September 2026,” katanya.

Kementerian turut memberi perhatian kepada usaha bagi memenuhi keperluan aset dan keupayaan untuk berhadapan dengan ancaman bukan tradisional.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini