Tumpuan :
Nasional

RM108.5 juta peruntukan untuk projek tebatan banjir di Sungai Kinta, Kampar

Anggota Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membersihakan kawasan perumahan yang dilanda banjir ketika tinjauan selepas banjir di Arena Kepayang Fair Park Ipoh. Foto NSTP

IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan RM108.5 juta untuk projek tebatan banjir di Sungai Kinta, di sini dan Kampar.

Menteri, Nga Kor Ming, berkata peruntukan itu bertujuan mengelakkan kejadian banjir di Arena Kepayang Putra, dekat Fair Park berulang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang berkata, kejadian banjir di lokasi terbabit berpunca daripada hujan lebat luar biasa selama 13 jam, dengan taburan hujan mencecah 92.5 milimeter (mm) di kawasan Empangan Ulu Kinta.

“Hasil siasatan awal Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) menunjukkan, hujan berterusan di sekitar Ipoh sejak hari Sabtu lalu menyebabkan paras air Sungai Kinta meningkat secara mendadak.

“Keesokan harinya, hujan yang berterusan menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan perumahan, menjejaskan kira-kira 200 isi rumah di kawasan Arena Kepayang Putra dan Fairpark,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada Ahad lalu, kawasan perumahan di Arena Kepayang Putra dilaporkan buat pertama kali dalam sejarah, dinaiki air banjir setinggi kira-kira 1.5 meter kesan limpahan Sungai Kinta.

Kejadian itu menyaksikan penduduk terpaksa meranduk air banjir yang kotor, dipenuhi sampah dan tompokan minyak hingga ada antara penduduk dilaporkan mengalami simptom gatal kulit.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, peruntukan itu membolehkan kerja menaik taraf ban di sepanjang Sungai Kinta dilaksanakan sebagai pencegahan dan penyelesaian jangka panjang bagi menangani risiko banjir akibat perubahan iklim yang semakin serius.

“Kawasan Kinta mencatatkan taburan hujan bulanan 370.2 mm pada November lalu, melebihi purata 298.5 mm,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Perak berkata, pasukan khidmat DAP, JBPM serta MBI mengambil tindakan segera untuk melaksanakan operasi pembersihan kediaman terjejas banjir, selepas air banjir surut sepenuhnya hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini