comscore
Tumpuan :
Nasional

RM10.2 juta kerugian akibat penipuan pelaburan di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Kes penipuan pelaburan di Negeri Sembilan setakat Mei lalu, menunjukkan peningkatan yang tidak ketara berbanding tempoh sama tahun lalu, namun jumlah kerugian meningkat hampir RM7 juta.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Abdul Khalid Othman berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 399 kes penipuan pelaburan dilaporkan dengan kerugian mencecah RM17 juta.

Bagaimanapun, katanya, setakat Mei tahun ini sahaja, sebanyak 136 kes penipuan pelaburan dilaporkan di negeri ini dan jumlah kerugiannya sudah mencecah RM10.2 juta.

“Berbanding tempoh sama tahun lalu, terdapat kenaikan dua kes dengan jumlah kerugian RM3.3 juta.

“Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban mencatatkan jumlah laporan kes paling tinggi tahun lalu iaitu sebanyak 158 kes dengan kerugian berjumlah RM11.1 juta,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Mengenai sasaran mangsa, beliau berkata, semua orang berisiko namun berdasarkan data, individu berusia antara 31 hingga 40 tahun paling ramai menjadi mangsa skim pelaburan tidak wujud, tahun lalu.

Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah dengan mengiklankan skim pelbagai pelaburan seperti forex atau mata wang, saham, emas dan aset digital di media sosial.

“Sindiket penipuan pelaburan ini mencari mangsa dengan menggunakan nama individu berpengaruh seperti selebriti termasuk agamawan untuk mempengaruhi mangsa.

“Sindiket menawarkan pelaburan tanpa risiko serta jaminan keuntungan yang tinggi mengakibatkan ramai individu tertarik,” katanya.

Justeru, katanya, masyarakat dinasihatkan supaya mencari ilmu pengetahuan mengenai mana-mana skim pelaburan yang ditawarkan dan tidak mudah terpengaruh.

“Jangan sesekali menyertai skim pelaburan yang tidak dilesenkan atau diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti.

Datuk Abdul Khalid berkata, tawaran pulangan yang kompetitif berbanding simpanan biasa menyebabkan ramai gelap mata dan menjadi mangsa.

Katanya, scammer menerusi pelbagai aplikasi di media sosial menunjukkan bukti kononnya ahli yang menyertai skim yang ditawarkan sudah mendapat keuntungan setiap hari.

Aplikasi paling digemari sindiket adalah melalui Telegram yang mana mangsa dimasukkan ke dalam kumpulan sembang secara rambang dan ahli sindiket yang menyamar sebagai pelabur atau orang awam akan berkongsi keuntungan masing-masing.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini