Tumpuan :
Nasional

RM1.4b baik pulih kemudahan awam, termasuk tandas sekolah rosak

BANGI: Peruntukan sebanyak RM1.4 bilion diperlukan kerajaan bagi membaik pulih pelbagai kemudahan awam yang rosak di seluruh negara, termasuk tandas sekolah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, peruntukan tertinggi diperlukan adalah bagi membaik pulih tandas sekolah yang menelan belanja RM1 bilion.

“Kita terbeban, hutang banyak. Bagaimana nak baiki tandas sekolah yang teruk? Saya minta Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan) periksa semua tandas sekolah, menurutnya ia memerlukan RM1 bilion (bagi kerja pembaikan).

“Orang yang buat bising (kenapa tindakan tidak diambil), saya ingin tanya semula, dalam tempoh tiga tahun (kerajaan lama memerintah), mengapa tak baik pulih tandas sekolah? Ini untuk kegunaan anak-anak kita.

“Ada sekolah yang ada 2,000 orang pelajar, tetapi hanya ada enam tandas dengan empat daripadanya rosak. Kami (Kerajaan Perpaduan) tidak boleh terima perkara sebegini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Cakna MADANI Perdana Menteri Bersama Pelajar Tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Institusi Pendidikan Tinggi, di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Anwar turut menegaskan, kerajaan akan sentiasa memastikan semua sekolah sama ada di pedalaman atau di bandar mendapat kemudahan yang kondusif, termasuk dari aspek kebersihan tandas.

Dalam pada itu, menyentuh isu peruntukan bagi membaik pulih kemudahan awam lain, katanya, kerajaan turut berdepan pelbagai lagi bebanan lain.

“Banyak klinik kesihatan yang rosak, pejabat polis daerah dalam keadaan daif, begitu juga dengan rumah penjawat awam. Tahun pertama (menerajui kerajaan), saya perlu selesaikan untuk mencari RM1.4 bilion (untuk kerja baik pulih),” katanya.

Sebelum ini, Anwar berkata, berdasarkan dapatan diperoleh melalui Kementerian Pendidikan, masih banyak tandas sekolah di seluruh negara dalam keadaan rosak sejak puluhan tahun lalu tanpa sebarang tindakan diambil.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Fadhlina supaya memeriksa keadaan tandas di sekolah di seluruh negara bagi memastikan murid mendapat kemudahan yang selesa.

Loading...
Terkini