Tumpuan :
Nasional

RM1.2 juta baik pulih kemudahan asas PPR Lembah Subang 1

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat sekitar kawasan PPR sempena Majlis Meraikan Forum Komuniti PPR Lembah Subang 1 di PPR Lembah Subang 1. – FOTO: NSTP

Oleh: Farah Nabilah Wazer

PETALING JAYA: Kerajaan meluluskan peruntukan RM1.2 juta bagi membaik pulih kemudahan asas di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, selaras dengan usaha meningkatkan kesejahteraan penduduk.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun menegaskan, pendekatan sedia ada perlu dikaji semula agar usaha naik taraf dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.

“Ini baru kita kata kerajaan yang prihatin tentang nasib rakyat. Apa sahaja perubahan bermula dari rumah kita, tempat tinggal kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Meraikan Forum Komuniti PPR Lembah Subang 1 hari ini.

Menurutnya, usaha menaik taraf kawasan berkenaan akan digerakkan dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta Think City.

“Keutamaan diberikan kepada membaik pulih kemudahan asas seperti lif, bumbung, serta sistem bekalan elektrik dan air bagi kesejahteraan penduduk,” katanya.

Anwar turut memaklumkan, kerajaan telah membelanjakan RM185 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan di PPR.

“Dalam tempoh dua tahun sebelum ini, RM100 juta telah diperuntukkan, menjadikan jumlah keseluruhan perbelanjaan bagi projek baik pulih ini mencecah RM285 juta,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa PPR Lembah Subang 1 akan dijadikan model contoh bagi semua projek perumahan rakyat di negara ini.

Pada masa sama, Perdana Menteri memberi amaran tegas bahawa kelewatan dalam kerja pembaikan, khususnya lif yang sering rosak, tidak akan diterima.

“Saya mahu laporan mengenai status kerja-kerja baik pulih lif dalam tempoh seminggu. Tidak boleh lagi ada kes di mana lif masih rosak selepas Ramadan atau Hari Raya,” katanya.

Selain itu, beliau meminta kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk menyenaraikan penghuni yang menetap di perumahan tersebut bagi memastikan kadar sewa yang dikenakan adalah munasabah.

Sekiranya terdapat isu berbangkit, Anwar menegaskan ia perlu segera dikemukakan kepada pihak berwajib, termasuk ahli majlis, ahli Dewan Undangan Negeri dan ahli Parlimen, bagi memastikan kebajikan rakyat terus terbela.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini